Rangka program khas atasi pengabaian kanak-kanak, kata pakar

Rangka program khas atasi pengabaian kanak-kanak, kata pakar

Pakar berkata ketika ini ramai ibu bapa berdepan masalah mental berpunca daripada isu kewangan yang boleh menjurus kepada pengabaian kanak-kanak.

Statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat pada 2023 menunjukkan sejumlah 7,520 kanak-kanak memerlukan pemeliharaan dan perlindungan. (Gambar Freepik)
PETALING JAYA:
Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) digesa menggerakkan program khas keibubapaan secara berkala dalam usaha membendung pengabaian kanak-kanak.

Saedah Siraj dari Fakulti Pendidikan Universiti Malaya berkata, ketika ini ramai ibu bapa berdepan masalah mental yang berpunca daripada isu kewangan yang boleh menjurus kepada pengabaian kanak-kanak.

Saedah Siraj.

Katanya, usaha itu juga perlu dilakukan jabatan agama Islam negeri dan semua rumah ibadat yang boleh menjadi lokasi program berkenaan.

“Masalah mental populasi di Malaysia mungkin lebih 60%. Ada yang sanggup membunuh anak sendiri tapi kemungkinan yang lain, membunuh dan memperkosa anak kandung termasuk anak istimewa dan anak angkat,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, selain itu KPWKM perlu bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk melaksanakan program di peringkat sekolah bersama ibu bapa pelajar berkaitan pendidikan keibubapaan dan bagaimana cara mengurus kemarahan dan mengawal nafsu.

“Perkara ini perlu ada dalam program tersebut,” katanya mengulas kes pengabaian kanak-kanak yang menunjukkan trend peningkatan membimbangkan.

Pada 23 April lalu Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri, berkata berdasarkan statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada 2023 sejumlah 7,520 kanak-kanak memerlukan pemeliharaan dan perlindungan.

Manakala pada 2022 sebanyak 5,572 kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak dilaporkan hingga November tahun itu.

Terbaru, kes melibatkan kematian kanak-kanak autisme Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, turut mendapat perhatian masyarakat apabila ibu bapanya didakwa bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana pengabaian.

Sementara itu, Kaunselor berdaftar, perunding psikologi, keluarga dan perkahwinan, Zumasni Rajikin, berkata setiap pasangan berkahwin perlu mempersiapkan diri dengan kehadiran cahaya mata dalam rumah tangga terutama jika ditakdirkan anak dilahirkan adalah istimewa.

Zumasni Rajikin.

Zumasni berkata, bagi menghadapi situasi itu ibu bapa perlu mendapatkan khidmat nasihat atau pandangan pakar atau tahu selok-belok tingkah laku anak istimewa.

“Paling utama ibu bapa mendapatkan tip dan terapi daripada pakar atau kaunselor berdaftar dalam bidang kanak-kanak yang dapat diamalkan untuk tujuan persediaan serta rutin harian,” katanya.

Katanya, pihak berwajib juga perlu memberikan sokongan kepada ibu bapa yang mempunyai anak istimewa dengan menyediakan kursus kemahiran berkala secara tahunan yang wajib diikuti selepas mendaftarkan anak di JKM yang merangkumi psikologikal dan kerohanian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.