NGO sokong usaha lindungi kanak-kanak dalam talian

NGO sokong usaha lindungi kanak-kanak dalam talian

Yayasan Chow Kit bersama beberapa NGO mengadakan libat urus dengan pelbagai pihak, termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia dalam usaha melindungi kanak-kanak daripada bahaya pemangsa.

Pegawai Advokasi Yayasan Chow Kit, Siti Rahayu Baharin berkata, usaha kerajaan meletakkan syarat usia bagi pemilikan akaun media sosial contoh langkah pencegahan awal bagi melindungi kanak-kanak di dunia dalam talian dipenuhi ‘pemangsa’. (Gambar Envato Elements)
PETALING JAYA:
Beberapa NGO yang memandang serius ancaman keselamatan dalam talian, khasnya membabitkan kanak-kanak bawah 13 tahun berkata, kerjasama pelbagai pihak diperlukan untuk menangani isu itu.

Pegawai Advokasi Yayasan Chow Kit, Siti Rahayu Baharin berkata, usaha kerajaan meletakkan syarat usia bagi pemilikan akaun media sosial contoh langkah pencegahan awal bagi melindungi kanak-kanak di dunia dalam talian dipenuhi “pemangsa”.

Menurutnya, kebimbangan terhadap ancaman itu dapat dilihat melalui pertambahan jumlah kandungan “Child Sexual Abuse Material”.

“Gangguan seksual terhadap kanak-kanak dalam talian adalah ancaman dan mereka sangat terdedah. Mereka mudah dipujuk pemangsa (pedofil) kerana alam ini tidak bersempadan dan pemangsa boleh mencari mangsa walau berada beribu-ribu batu jauhnya,” katanya menurut Malaysia Tribune.

Beliau berkata, pihaknya bersama beberapa NGO mengadakan libat urus dengan pelbagai pihak, termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dalam usaha melindungi kanak-kanak daripada bahaya pemangsa.

Katanya, pembabitan NGO di pelbagai peringkat dan melalui pendekatan lebih berkesan perlu ditingkatkan memandangkan ia “touch-point” paling rapat dengan isu masyarakat.

Siti Rahayu berkata, pihaknya sedia memberi pandangan dan bertukar buah fikiran bagi membantu agensi kerajaan dan kementerian mencari penyelesaian terhadap sesuatu isu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Kecemerlangan Pendidikan Ummah, Ida Hariati Hashim memuji kerajaan melalui SKMM dan agensi lain menjalankan tugas baik dalam menangani isu keselamatan dalam talian.

Selain ancaman berkaitan seksual dan buli dalam talian, katanya, masyarakat wajar memandang serius isu berita palsu kerana maklumat yang tidak pasti kesahihannya boleh mengundang bahaya, jika tidak dibendung.

“Kanak-kanak terdedah dengan masalah keselamatan dalam talian kerana mereka tidak tahu hak serta cara melindungi diri dan kadangkala orang dewasa sendiri pun termakan dengan berita palsu, inikan pula kanak-kanak yang bukan semuanya sudah matang untuk memproses sesuatu maklumat.

“Dalam isu ini, kematangan memproses maklumat amat penting supaya kita semua tidak menjadi mangsa maklumat palsu.”

Bagi memperkukuh ekosistem dalam talian supaya lebih selamat buat kanak-kanak, beliau berkata, inisiatif SKMM perlu disokong menerusi pendekatan “whole-of-nation” dengan kerjasama pelbagai lapisan masyarakat serta agensi kerajaan.

“Kita memerlukan usaha bersama di semua peringkat, sama ada ibu bapa, guru, kerajaan dan pihak swasta dalam melindungi anak-anak kita. Kita semua pasti tersedar kita sudah tersilap apabila kita memandang remeh isu ini.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.