
Gabungan Etnik Burma Malaysia (Cobem) berkata ia membuat rayuan itu untuk semua pelarian Myanmar yang telah mendapatkan suaka di sini, bukan hanya minoriti.
“Bukan hanya etnik minoriti yang berisiko. Sesiapa yang menyokong demokrasi di Myanmar berdepan dengan keputusan sama ada tinggal di Myanmar dengan risiko besar atau melarikan diri ke negara lain,” kata koordinatornya, James La Seng.
La Seng berkata kira-kira 70% daripada negara itu terjejas akibat konflik bersenjata di tengah-tengah perang saudara, khususnya di kawasan etnik minoriti.
Walaupun ramai yang membuat keputusan melarikan diri ke Malaysia, katanya, ada yang ditahan sebagai pendatang tanpa izin dan akhirnya dihantar pulang ke Myanmar.
Ia tetap berlaku walaupun mereka memiliki kad pelarian daripada Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR), katanya pada perbincangan panel yang diadakan pada acara Hari Pelarian Sedunia hari ini.
“Kami berterima kasih kepada kerajaan Malaysia atas komitmennya sejak sekian lama untuk menawarkan tempat selamat kepada pelarian, walaupun ia bukan penandatangan Konvensyen Pelarian 1951 dan protokol berkaitannya.
“Kami memerlukan bantuan anda sekarang. Jangan hantar kami kembali ke zon perang. Berikan komuniti kami sedikit masa untuk tinggal di Malaysia dan kami akan cuba yang terbaik untuk menyumbang kepada Malaysia semasa berada di sini,” katanya.
Katie Fung, pegawai program dengan kumpulan hak asasi manusia Tenaganita, juga menggesa Putrajaya untuk lebih bersimpati terhadap pelarian Myanmar dan memahami kesusahan mereka.
“Ini memerlukan tindak balas kemanusiaan kolektif daripada semua, dengan kerajaan Malaysia, UNHCR dan organisasi masyarakat sivil,” kata Fung, yang juga salah seorang panel.
Cobem termasuk Jawatankuasa Bantuan Pelarian Arakan, Perikatan untuk Pelarian Chin, Jawatankuasa Pelarian Chin, Jawatankuasa Pelarian Kachin dan Pertubuhan Malaysia Karen, antara lain.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata Malaysia tidak pernah menghantar pulang pemegang kad UNHCR, sambil berkata mereka yang ditahan oleh Jabatan Imigresen akan dibebaskan ke suruhanjaya atas alasan kemanusiaan.
Menurut laporan Human Rights Watch yang diterbitkan pada Oktober 2022, Malaysia menghantar pulang kira-kira 2,000 warga Myanmar, termasuk pencari suaka, dari April hingga Oktober tahun itu.
Saifuddin menegaskan bahawa pengusiran sedemikian dilakukan mengikut SOP imigresen, sambil bekerjasama dengan dengan kedutaan asing masing-masing.