Anak tak sah taraf antara tertinggi mohon kewarganegaraan

Anak tak sah taraf antara tertinggi mohon kewarganegaraan

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata anak-anak ini tidak boleh dilupakan atas 'kesalahan ibu bapa'.

saifuddin nasution
Saifuddin Nasution Ismail berkata, permohonan anak di luar ikatan perkahwinan dan anak angkat menjadi dua kategori tertinggi dalam permohonan kewarganegaraan. (Gambar Bernama)
NIBONG TEBAL:
Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi keutamaan menyelesaikan kes permohonan kewarganegaraan melibatkan kategori anak tidak sah taraf dan anak angkat di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, berkata ia berikutan permohonan dua kategori tersebut paling tinggi setakat ini, diikuti kategori anak lahir luar negara daripada ibu warganegara tetapi bapanya bukan warganegara.

“Apabila saya melihat data permohonan, didapati anak yang lahir di luar ikatan perkahwinan adalah tinggi. Jadi, saya fikir anak-anak ini tidak boleh dilupakan atas kesalahan ibu bapa.

“Jadi, kita proses segera, kerana itu kita letakkan tahun lepas petunjuk prestasi utama (KPI) (selesai) 14,000 kes dan kita capai tepat pada Disember 2023. Sekarang angka itu sudah mencecah lebih 15,000.

“Sasaran tahun lepas sudah dicapai, paling tidak kita kekalkan momentum sama tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat India Sungai Bakap di Dewan Serbaguna Sungai Bakap.

Saifuddin juga memaklumkan permohonan kewarganegaraan di bawah kategori naturalisasi dan warganegara tempatan yang berkahwin dengan warga asing adalah sangat sedikit.

Dalam pada itu, beliau memberi jaminan akan membantu menyelesaikan isu kewarganegaraan dihadapi penduduk di Sungai Bakap khususnya masyarakat kaum India sekiranya calon mewakili kerajaan perpaduan pada PRK Sungai Bakap Joohari Ariffin dipilih sebagai wakil rakyat, pada 6 Julai nanti.

Sementara itu, mengenai siasatan kes pembunuhan kanak-kanak autistik Zayn Rayyan Abdul Matiin, beliau mengesahkan polis menerima aduan mengenai kebocoran dokumen dan siasatan polis masih berjalan.

Ditanya sama ada kerajaan akan menyekat platform Telegram susulan kebocoran laporan siasatan kes tersebut, beliau menyerahkan kepada Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menjawabnya.

Sebelum ini, tular di media sosial tangkap layar yang didakwa sebagai laporan siasatan membabitkan kes pembunuhan kanak-kanak itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.