2 beradik maut nahas di Yan

2 beradik maut nahas di Yan

Motosikal dinaiki mangsa bertembung kereta dengan penunggang berusia 22 tahun dan pembonceng berusia 11 tahun terpelanting.

Ketua Polis Yan Shahnaz Akhtar Haji, berkata nahas berlaku apabila kereta dipandu warga emas gagal memotong, lalu masuk laluan bertentangan. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Dua beradik maut selepas motosikal dinaiki bertembung sebuah kereta yang gagal memotong, dalam kejadian di Jalan Teroi, Titi Lahar, Yan, malam tadi.

Dalam nahas pada 8.30 malam itu, mangsa, Zulqarnain Mohd Delmi, 22, dan adik lelakinya berusia 11 tahun parah di kepala dan badan, dengan kedua-dua mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu warga emas berusia 61 tahun, cedera di dada.

Ketua Polis Yan Shahnaz Akhtar Haji, berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal jenis Honda RS-X dinaiki mangsa datang dari arah Yan menghala ke Gurun, manakala kereta Toyota Vios itu dari arah bertentangan.

“Kereta Toyota Vios yang dipandu warga emas terbabit dipercayai cuba memotong sebuah kenderaan, namun gagal lalu masuk ke laluan bertentangan (seterusnya) bertembung motosikal dinaiki dua beradik itu.

“Akibat pertembungan itu, penunggang dan pembonceng motosikal terpelanting dan terseret ke bahu jalan.

“Mayat mereka kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Yan untuk bedah siasat,” katanya kepada Astro Awani.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.