Tebus kecewa, Pei Jing capai final beregu wanita Terbuka Australia

Tebus kecewa, Pei Jing capai final beregu wanita Terbuka Australia

Lai Pei Jing bersama pasangannya, Lim Chiew Sien, akan bertemu beregu Indonesia Febriana Dwipuji Kusumu/Amalia Chaya Pratiwi esok.

Beregu wanita Lai Pei Jing-Lim Chiew Sien menang bergaya 21-13, 18-21, 21-14 pada separuh akhir Terbuka Australia hari ini.
PETALING JAYA:
Beregu wanita Lai Pei Jing-Lim Chiew Sien berjaya mara ke final kejohanan badminton Terbuka Australia di Sydney selepas mengecewakan Yeung Nga Ting-Yeung Pui Lam dari Hong Kong.

Menebus kekecewaannya setelah kalah pada separuh akhir beregu campuran bersama Tan Kian Meng, Pei Jing bergandingan dengan Chiew Sien untuk menang bergaya 21-13, 18-21, 21-14.

Pada peringkat final esok, mereka akan bertemu beregu Indonesia Febriana Dwipuji Kusumu/Amalia Chaya Pratiwi

Kian Meng-Pei Jing sebelum itu tewas dalam aksi beregu campuran kepada pilihan utama dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin 21-11, 21-11.

Kemunculan pada final Terbuka Australia ini mungkin mengubat hati Pei Jing, yang sebelum ini berkata beliau mahu bangkit daripada kesedihan setelah hampir kehilangan kesemua wangnya kerana terpedaya dengan sindiket penipuan.

Dalam temu bual dengan Spotv baru-baru ini, Pei Jing berkata, beliau ingin mencuba sesuatu yang baharu bersama Chiew Sien, yang juga bermain dalam beregu campuran bersama Wong Tien Ci.

Pei Jing kali terakhir beraksi dalam beregu wanita pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 bersama Cheah Yee See, yang bersara bulan lepas.

Pasangan itu berjaya mara ke pusingan kedua sebelum tewas kepada beregu dari England, Chloe Birch-Lauren Smith, yang kemudian memenangi pingat perak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.