
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil bagaimanapun tidak menyatakan secara khusus pengumuman yang akan dibuat Anwar yang juga menteri kewangan itu.
“Kita tunggu daripada perdana menteri esok, ia berkaitan serba sedikit barang makanan. Jadi, tunggu perdana menteri umum.
“Ia menunjukkan apabila kita ada kerjasama yang baik daripada sektor industri dan ada persefahaman bahawa niat kita adalah untuk rakyat, kita berupaya untuk membuat pengumuman seperti yang akan diumumkan oleh perdana menteri esok,” katanya kepada media selepas Majlis Perasmian cawangan baharu Mydin Mart di Pantai Dalam hari ini.
Majlis itu turut dihadiri Pengarah Urusan Mydin Ameer Ali Mydin.
Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata kerajaan juga mula melihat perubahan terhadap pola penjualan diesel sejak penyasaran subsidi bahan bakar itu dilaksanakan 10 Jun lalu.
Katanya, ia sekali gus memberi keyakinan kepada kerajaan dalam pelaksanaan langkah itu terutamanya dalam mengekang aktiviti penyeludupan dan penyelewengan diesel.
“Hasil tinjauan di stesen minyak, terdapat pola perubahan mendadak berlaku terhadap permintaan bahan bakar itu.
“Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali telah menghantar laporan berkenaan pemantauan di stesen minyak di Selangor khususnya, di mana didapati berlaku perubahan besar dari segi pola jualan desel secara mendadak sebelum dan selepas pelaksanaan penyasaran subsidi.
“Ini memberi keyakinan kepada kita yang sedikit sebanyak membantu mengekang kegiatan penyeludupan bahan bakar itu,” katanya jurucakap kerajaan perpaduan itu.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan harga diesel di semua stesen runcit Semenanjung ditetapkan pada kadar RM3.35 bagi setiap liter iaitu harga pasaran tanpa subsidi.
Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan berkata ia adalah harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula Automatic Pricing Mechanism.
Beliau berkata dengan penetapan harga dan pelaksanaan subsidi diesel secara bersasar, ia dapat memberikan penjimatan RM4 bilion setahun, di samping dapat mengukuhkan kedudukan kewangan negara untuk jangka masa panjang.