Kripto: LHDN kesan entiti untuk elak pelaporan cukai

Kripto: LHDN kesan entiti untuk elak pelaporan cukai

LHDN berkata individu terlibat perdagangan mata wang kripto tertakluk kepada cukai pendapatan.

LHDN berkata data diperolehi menerusi Ops Token akan dianalisis secara terperinci, bagi mendapatkan nilai aset mata wang kripto yang diperdagangkan dan keuntungan yang dijana daripada kegiatan tersebut. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Lembaga Hasil Dalam Negeri menemui beberapa entiti syarikat dan perkongsian liabiliti terhad sengaja diwujudkan untuk menjadi pengantara transaksi perdagangan mata wang kripto, bagi mengelakkan pelaporan cukai.

Penemuan itu menerusi operasi pematuhan khas Ops Token di sekitar Lembah Klang, dengan kerjasama polis dan CyberSecurity Malaysia.

LHDN berkata data perdagangan mata wang kripto yang diperoleh daripada peranti mudah alih dan komputer dalam operasi di 10 lokasi berbeza akan dianalisis secara terperinci, bagi mengenal pasti nilai ketirisan cukai sebenar yang tidak pernah dilaporkan.

Analisis itu bagi mendapatkan nilai aset mata wang kripto yang diperdagangkan dan keuntungan yang dijana daripada kegiatan tersebut.

“Mana-mana individu yang terlibat dengan perdagangan mata wang kripto di Malaysia adalah tertakluk kepada cukai pendapatan di Malaysia,” tegas Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Abu Tariq Jamaluddin dalam kenyataan.

Objektif Ops Token adalah memperluaskan asas hasil dengan mengurangkan ketirisan dan meningkatkan kecekapan cukai.

LHDN menasihatkan pihak yang menjalankan aktiviti perdagangan mata wang kripto tampil membuat pelaporan cukai dengan kadar segera, sebelum tindakan pematuhan diambil.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.