Program penyumberan luar: Kerajaan senarai pendek hospital swasta

Program penyumberan luar: Kerajaan senarai pendek hospital swasta

Kira-kira 95 hospital kemuka usul sedia rawatan pakar terpilih, kata Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad.

Dzukefly Ahmad
Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berucap pada pelancaran program ‘Shopee’s Mum’s Club’ di Puncak Alam hari ini.
KUALA SELANGOR:
Kira-kira 95 hospital swasta mengemukakan usul untuk menyertai program penyumberan luar sistem penjagaan kesihatan awam, kata Dzulkefly Ahmad.

Menteri kesihatan itu berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) kini dalam proses menyenarai pendek usul hospital-hospital swasta tersebut berikutan permintaan untuk cadangan pada Mac.

Katanya, penyumberan luar itu meliputi pembedahan kardiotoraks, pengimejan perubatan, perkhidmatan kardiologi dan nefrologi untuk menguruskan permintaan pesakit dan mengurangkan masa menunggu di hospital kerajaan dan pusat pakar.

“Apabila kapasiti kita tak dapat kendali jumlah pesakit atau apabila masa menunggu jadi terlalu lama, kita akan sumber luar perkhidmatan.

“Belanjawannya kira-kira RM200 juta, dengan RM144 juta khusus untuk penyumberan luar hospital,” katanya pada sidang media selepas melancarkan program ‘Shopee’s Mum’s Club’ di Puncak Alam.

Pada 4 Jun, Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) mengulangi tawarannya untuk membantu kerajaan menjalankan pembedahan jantung, memandangkan pakar bedah kardiotoraks tidak cukup di hospital awam.

Presiden APHM Dr Kuljit Singh berkata, terdapat tujuh kemudahan pembedahan jantung swasta di Lembah Klang, lima pusat di Pulau Pinang, dan enam institusi swasta di wilayah selatan yang mempunyai 10 hingga 15 pakar bedah kanan, majoritinya dilatih melalui program laluan selari.

Secara berasingan, Dzulkefly menggesa platform e-komersial untuk mematuhi peraturan keselamatan yang ditetapkan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), pihak berkuasa peranti perubatan dan bahagian penguatkuasaan farmasi.

“Dari semasa ke semasa, saya dapati terdapat aduan terhadap makanan tambahan, ubat-ubatan, atau produk kosmetik (yang dijual di) platform ini, tetapi itu tidak sepatutnya berlaku,” katanya.

Tambahnya, NPRA sentiasa memantau produk yang dijual di semua platform dan akan meminta produk yang tidak patuh peraturan tidak lagi dijual.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.