Wanita nafi kaitan dengan Daim cabar notis SPRM

Wanita nafi kaitan dengan Daim cabar notis SPRM

Josephine Premla Sivaretnam menafikan dirinya penama, pekerja, atau pemegang amanah bagi Daim Zainuddin.

Penang High Cour
Bekas peguam Josephine Premla Sivaretnam mendakwa notis-notis yang dikeluarkan oleh SPRM terhadapnya menyalahi undang-undang, tidak rasional dan dicemari ketidakwajaran prosedur.
PETALING JAYA:
Seorang wanita yang menafikan mempunyai kaitan dengan bekas menteri kewangan Daim Zainuddin memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang untuk membatalkan tiga notis pengisytiharan aset yang dikeluarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepadanya.

Josephine Premla Sivaretnam, 69, berkata notis agensi antirasuah itu dikeluarkan pada Februari, Mac dan April tahun ini bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009.

Bagaimanapun, bekas peguam itu berkata, notis-notis tersebut menyalahi undang-undang, tidak rasional dan dicemari ketidakwajaran prosedur.

Beliau juga mahu semua prosiding menurut notis tersebut ditangguhkan sementara menunggu permohonannya selesai.

Dalam permohonan difailkan bulan lepas yang dilihat oleh FMT, Josephine memohon pengisytiharan mahkamah bahawa ketiga-tiga notis itu terbatal dan tidak sah.

Beliau menamakan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dan agensi antirasuah sebagai responden.

FMT difahamkan, peguam negara akan menentang permohonan itu.

Menurut sistem ‘e-filing’ mahkamah, permohonan itu dijadualkan didengar dalam talian oleh Hakim Anand Ponnudurai pada Selasa.

Dalam afidavit sokongan, Josephine berkata, notis itu mendakwa Daim dipercayai menyalahgunakan kuasanya semasa memegang jawatan. Menurut notis tersebut juga, Josephine mungkin boleh membantu dalam siasatan, sebagai rakan sekutu Daim.

Bagaimanapun, Josephine menafikan dirinya penama, pekerja, pemegang amanah mahupun seseorang yang menguruskan hal ehwal perniagaan Daim.

Katanya, notis itu memohon maklumat mengenai aset yang diperoleh sejak 1997, namun beliau meminta lanjutan masa kerana butirannya ‘mustahil untuk dikumpul’.

Josephine seterusnya berkata, notis itu sepatutnya hanya merangkumi tempoh selepas Akta SPRM semasa berkuat kuasa, iaitu 1 Jan 2009.

Pada 29 Jan, Daim, 86, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana gagal mematuhi notis SPRM yang menghendaki beliau mengisytiharkan aset.

Dia didakwa gagal mengisytiharkan pemilikan dalam 38 syarikat, 19 bidang tanah di Selangor, Negeri Sembilan, Pahang, Kedah dan Kuala Lumpur, serta enam hartanah.

Daim juga didakwa gagal mengisytiharkan pemilikan akaun Amanah Saham Nasional Bhd dan Amanah Saham Nasional serta tujuh kenderaan mewah.

Enam hari sebelum itu, isterinya, Na’imah Khalid, didakwa gagal mengisytiharkan pemilikan dalam pelbagai syarikat, beberapa bidang tanah di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, serta dua kenderaan.

Kedua-duanya mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda tidak lebih RM100,000, jika sabit kesalahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.