Runding dengan Wisma Putra sebelum hantar bantuan ke Gaza, NGO diberitahu

Runding dengan Wisma Putra sebelum hantar bantuan ke Gaza, NGO diberitahu

Langkah ini bagi menjamin keselamatan berikutan keadaan semasa di sana tidak menentu, kata menteri luar.

Mohamad Hasan
Menteri Luar Mohamad Hasan berkata, pihaknya sentiasa berhubung dengan kerajaan Jordan mengenai perkembangan di Gaza, termasuk penghantaran bantuan kemanusiaan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Mana-mana pihak khususnya NGO termasuk Mercy Malaysia diminta berunding dengan Wisma Putra dahulu sebelum menghantar sukarelawan untuk misi bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza.

Menteri Luar Mohamad Hasan berkata, langkah ini bagi menjamin keselamatan mereka berikutan keadaan semasa di sana tidak menentu, selain mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

“Jangan pandai-pandai ke sana, perlu berunding dengan kita, kita tengok bila keadaan sesuai atau macam mana nak masuk, sebab kita ada saluran dan bekerjasama termasuk dengan Jordan, Qatar dan Egypt … kalau apa-apa berlaku, Kementerian Luar juga akan dipertanggungjawabkan.

“Bukan kata tak boleh pergi bantu, banyak bantuan boleh diberi .. kita ikut cara sistematik,” katanya sambil menambah, bahkan zon selamat di Gaza, termasuk khemah pelarian dan konvoi bantuan, digempur.

Beliau juga berkata, pasukan Jordan patut diberi keutamaan untuk membantu warga Gaza, memandangkan mereka mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel, seperti Qatar dan Mesir.

“Kalau ada apa-apa, pihak berkuasa (Jordan) boleh bawa balik rakyatnya, kita tak ada,” katanya kepada pemberita di Rembau, lapor Bernama.

Ahli Parlimen Rembau itu juga berkata, pihaknya sentiasa berhubung dengan kerajaan Jordan mengenai perkembangan di Gaza, termasuk penghantaran bantuan kemanusiaan.

Beliau meminta rakyat Malaysia yang ingin membantu agar terus menyalurkan bantuan kepada Tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) yang diuruskan Wisma Putra.

“Bantuan amat diperlukan … yang penting sekarang mereka perlukan bantuan peralatan dan perubatan, mereka juga perlukan khemah kerana rumah dan tempat tinggal sudah hancur,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, tiada lagi pasukan sukarelawan Malaysia yang ‘tersangkut’ di Gaza selepas enam ahli pasukan perubatan kecemasan (EMT) Mercy Malaysia selamat dibawa keluar baru-baru ini, bersama petugas antarabangsa lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.