
Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata siasatan kes itu oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman masih berjalan.
“Siasatan kes masih berjalan (mencari pelaku),” katanya ringkas kepada FMT.
Pada sidang media bersama Faisal di Pusat Latihan Pasukan Bola Sepak Selangor semalam, peguam Selangor FC Haijan Omar berkata, anak guamnya tidak dimaklumkan perkembangan siasatan kes tersebut.
Tambahnya, beliau dimaklumkan kali terakhir Faisal didatangi polis adalah ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Haijan bagaimanapun berkata, pihaknya yakin siasatan dilakukan secara profesional.
Dengan kesan melecur akibat simbahan asid itu jelas kelihatan di bahagian muka dan lengannya, Faisal kali pertama muncul di khalayak ramai pada sidang media semalam sejak kejadian pada 5 Mei lepas.
Faisal yang juga pemain Harimau Malaya itu dibenarkan pulang ke rumah pada 25 Mei selepas tiga minggu menjalani rawatan dan empat pembedahan di hospital.
Beliau mengalami luka lecuran tahap empat selepas disimbah asid di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah dengan senjata atau lain-lain benda yang berbahaya.
Faisal semalam berkata, beliau hampir membuat keputusan bersara daripada dunia bola sepak selepas kejadian itu, ‘asalkan keluarganya selamat dan tidak hidup dalam ketakutan’.