Polis belum kenal pasti motif kes simbah asid Faisal Halim, kata pengarah JSJ

Polis belum kenal pasti motif kes simbah asid Faisal Halim, kata pengarah JSJ

Shuhaily Mohd Zain siasatan kes itu akan diperluaskan dan telah memasuki fasa kedua.

Faisal Halim membuat penampilan pertama di khalayak ramai semalam selepas kejadian disimbah asid pada 5 Mei lalu.
KUALA LUMPUR:
Polis masih belum dapat mengenal pasti motif kejadian simbah asid melibatkan tonggak utama Selangor FC dan Harimau Malaya, Faisal Halim, di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya bulan lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata siasatan kes berkenaan giat dijalankan dan tidak akan berhenti sehingga pelaku dapat diberkas.

Beliau berkata polis kini sedang memperluaskan skop siasatan dan telah memasuki fasa kedua.

“Cap jari dan ‘photo-fit’ suspek tidak banyak membantu siasatan. Polis juga menghadapi kekangan berikutan tiada saksi awam menyaksikan kejadian berkenaan.

“Setakat ini polis hanya dapat kenal pasti corak serangan tetapi masih belum dapat ‘establish motive’ serangan ini dan beberapa kejadian membabitkan pemain bola sepak yang lain,” katanya pada sidang media di Bukit Aman.

Beliau berkata pihaknya telah mengambil keterangan beberapa individu di pejabat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan akan mengadakan perjumpaan dengan Faisal dalam masa terdekat.

Mengenai kenyataan Faisal yang memberitahu kali terakhir beliau dihubungi polis adalah pada minggu pertama kejadian, Shuhaily berkata pihaknya akan menghubungi Polis Selangor untuk mendapatkan maklumat mengenai perkara itu.

Semalam, Faisal membuat penampilan kali pertama di hadapan khalayak umum kerana enggan berselindung dan ingin menjalani kehidupan normal seperti manusia biasa.

Pada 5 Mei lepas, Faisal, 26, mengalami kecederaan melecur tahap empat pada beberapa bahagian anggota badan selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya dan terpaksa dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama kira-kira 10 hari.

Seterusnya pada 25 Mei, Selangor FC menerusi kenyataan mengesahkan pemain sayapnya itu dibenarkan keluar dari sebuah hospital swasta di sini selepas menjalani empat pembedahan susulan insiden berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.