Pakar setuju cadangan Terowong SMART di PJ

Pakar setuju cadangan Terowong SMART di PJ

Bagaimanapun, penduduk di sekitar kawasan terlibat bimbang ini akan menggugat kawasan perumahan mereka.

smart
Cadangan pembinaan terowong SMART di Petaling Jaya bertujuan meredakan kesesakan dan banjir di kawasan berkenaan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pakar pengangkutan memuji cadangan pembinaan terowong SMART di Petaling Jaya, yang dilihat sebagai penyelesaian baik untuk masalah kesesakan dan banjir di bandar berkenaan.

Wan Agyl Wan Hassan berkata, keupayaan Terowong SMART meredakan kesesakan dan menguruskan air hujan mampu menjadi tambahan baik untuk infrastruktur bandar itu.

“Memandangkan kesesakan dan banjir yang sering berlaku di Petaling Jaya, infrastruktur dwiguna ini mampu membawa perubahan signifikan,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas pengumuman Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 29 Mei lalu mengenai cadangan pembinaan terowong SMART sepanjang 1.98km meliputi Seksyen 19, 51, dan 51A.

Terowong itu dijangka melintasi Seksyen 51 dan 51A, Laluan 2 Lebuh Raya Persekutuan, dan Lebuh Raya Pantai Baru (NPE) dengan anggaran kos RM350 juta.

Wan Agyl, bekas ketua dasar dan perancangan di Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menjelaskan bahawa mekanisme mitigasi banjir Terowong SMART membolehkan air hujan dialihkan ke laluan dan kawasan takungan dikhususkan seterusnya meredakan sistem perparitan bandar.

“Reka bentuk ini terbukti berkesan di Kuala Lumpur, di mana Terowong SMART berjaya mengurangkan banjir di kawasan utama,” katanya.

Perunding pengangkutan Rosli Khan berkata, Terowong SMART baharu itu akan mengurangkan kesesakan di Petaling Jaya dengan menyediakan laluan alternatif untuk lalu lintas.

Bagaimanapun, katanya, masih perlu ada penyelesaian pengurusan lalu lintas tambahan, khususnya jika jumlah penduduk dan perniagaan di dalam dan sekitar bandar itu terus meningkat, lebih-lebih lagi sekiranya MBPJ meluluskan pembinaan lebih banyak bangunan pencakar langit.

“Melabur ke arah pengangkutan awam lebih baik dapat mengurangkan bilangan kenderaan atas jalan, seterusnya meredakan kesesakan dan mengurangkan keperluan untuk infrastruktur jalan baharu,” katanya kepada FMT.

Beliau menggesa pihak berkuasa menangani kekurangan perkhidmatan pengangkutan awam yang menghubungkan bahagian utara serta selatan bandar itu, khususnya antara stesen kereta api di selatan Petaling jaya dengan stesen transit kereta api ringan (LRT) di utaranya.

Bagaimanapun, penduduk menyuarakan kebimbangan bahawa projek itu mungkin menggugat kehidupan mereka sekiranya menceroboh kawasan perumahan mereka.

Pengerusi kumpulan Stakeholders cum Residents Against PJD Link (ScRAP) David Yoong berkata, terowong itu tidak perlu dibina memandangkan kosnya yang tinggi selain kekurangan kajian lalu lintas menunjukkan kesesakan teruk di Jalan 51A/223.

Katanya, masih ada alternatif lebih murah seperti jejambat yang dilihat menelan belanja jauh kurang berbanding projek Terowong SMART.

“Jejambat ini boleh menghubungkan hujung Jalan Penchala ke Taman Medan dan dilanjutkan ke Lebuh Raya Kesas Highway, seterusnya menjadi penghubung antara Jalan Klang Lama dan NPE.

“Bagi pengaliran air hujan juga ada alternatif lebih murah, seperti kolam tadahan air atau tangki tadahan bawah tanah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.