Lebih 100 syarikat disiasat SPRM susulan operasi di Pelabuhan Klang, KLIA

Lebih 100 syarikat disiasat SPRM susulan operasi di Pelabuhan Klang, KLIA

SPRM dilapor sedang menyiasat syarikat yang mungkin terlibat dalam menyeludup barang import.

Antara wang tunai yang dirampas SPRM daripada sindiket penyeludupan barangan import dan elak cukai di Pelabuhan Klang. (Gambar SPRM)
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat lebih 100 syarikat berkait kes rasuah membabitkan ketirisan di Pelabuhan Klang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Badan anti-rasuah itu dilaporkan sedang menyiasat syarikat yang mungkin terlibat dalam menyeludup barang import, dengan membuat pengisytiharan cukai palsu.

Ia berkait kes rasuah membabitkan ketirisan dianggarkan RM3.5 bilion di Pelabuhan Klang, serta kes ketirisan hasil cukai RM2 bilion di KLIA.

Siasatan menyusuli penahanan 34 anggota kastam di KLIA dan 11 lagi pegawai kastam di Pelabuhan Klang.

“Kita menyiasat pihak syarikat terutama ejen ‘forwarding’ kerana wang yang disalurkan ini membabitkan ejen ‘forwarding’ dan syarikat berkaitan,” katanya, lapor Berita Harian.

Siasatan berkenaan akan melibatkan kastam dan Lembaga Hasil Dalam Negeri, tambahnya.

“Apa yang kita mahu lihat, berapa banyak yang mereka bayar untuk aktiviti haram ini,” katanya.

Susulan rampasan RM4.4 juta wang tunai, serta kenderaan dan geran tanah, Azam berkata pihaknya mahu menjejaki dari mana wang dan harta diperoleh.

“Dalam membuktikan kes rasuah, penting untuk tahu wang itu berasal dari mana,” katanya.

Pada 5 Jun lepas, media melaporkan pihak berkuasa membongkar kegiatan sindiket penyeludupan terbesar di Pelabuhan Klang. Sindiket itu dikatakan sudah beroperasi sejak lebih 10 tahun lalu.

Ops Transit itu menyusuli Ops Samba 2.0 pada Mac, yang menumpukan siasatan terhadap anggota dan pegawai kastam yang bertugas di kargo KLIA.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.