Jemaah Menteri lulus peraturan baharu MM2H

Jemaah Menteri lulus peraturan baharu MM2H

Pengumuman mengenai perincian program itu dijangka dibuat dalam masa terdekat, kata Tiong King Sing.

Program MM2H, yang membenarkan warga asing membeli hartanah dan tinggal di Malaysia, diperkenalkan pada 2002 namun dibekukan sementara pada Ogos 2020. (Gambar AP)
KUALA LUMPUR:
Peraturan baharu bagi program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) mendapat kelulusan Jemaah Menteri dan pengumuman mengenai perinciannya dijangka dibuat dalam masa terdekat.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program Sesi Pemantapan Pelan Tindakan Pemasaran Pejabat Tourism Malaysia Luar Negara hari ini.

Tiong berkata, dengan pelaksanaan peraturan baharu itu, pihaknya mahu syarikat atau ejen yang menyediakan program MM2H memberikan perkhidmatan yang terbaik, sekali gus menjaga imej negara.

Diperkenalkan pada 2002, MM2H membenarkan warga asing membeli hartanah dan tinggal di Malaysia.

Program itu dibekukan sementara pada Ogos 2020 bagi memberi ruang kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menilai semula program itu secara komprehensif.

Sejak Oktober 2021, permohonan baharu MM2H dikendalikan Jabatan Imigresen merangkumi urusan berkaitan perkhidmatan pemprosesan permohonan sedia ada dan logistik.

Sementara itu, Tiong berkata, pihaknya akan mengadakan mesyuarat dengan Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengangkutan bersama-sama pengusaha bas persiaran pada Julai untuk mencari penyelesaian terbaik berhubung masalah dihadapi mereka.

Mesyuarat itu antara lainnya sebagai persediaan bagi Tahun Melawat Malaysia 2026, tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.