
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata, selain dinaikkan pangkat menjadi koperal, ahli keluarga Ahmad Azza Fahmi, 22, dan Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, masing-masing turut menerima pampasan RM216,632 dan RM213,586.
Pampasan ini meliputi bantuan mengurus jenazah, syer kerajaan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan sebagainya, katanya.
“Bukan nilai ratusan yang diutamakan tetapi untuk meringankan beban keluarga … kita tidak boleh gantikan kesedihan (kehilangan ahli keluarga) dengan wang ringgit.
“Aspek kebajikan (ahli keluarga polis) kita jaga … hubungan polis (dengan keluarga) tidak terputus,” katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pemakaian Pangkat Secara Medan dan ‘Posthumous’ di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur.
Saifuddin berkata, tiga anggota Balai Polis Ulu Tiram yang terbabit dalam kejadian itu turut menerima kenaikan pangkat secara medan.
Koperal Mohd Hasif Roslan dinaikkan pangkat sarjan, manakala Konstabel Mohd Khairul Azhar Abbi Paisa dan Lans Koperal Muhammad Aznel Salleh masing-masing dinaikkan pangkat koperal.
Tindakan berani anggota polis dalam kejadian itu membuktikan modul latihan sebelum menjadi anggota dan pegawai polis berkesan dalam menghadapi situasi kritikal, kata Saifuddin.
“Hal ini memberi isyarat modul latihan kita mampu melahirkan anggota polis yang mampu menguruskan situasi kritikal dengan kematangan luar biasa,” katanya sambil menambah, modul latihan polis sentiasa berubah mengikut perkembangan semasa.
Dalam kejadian pada 2.45 pagi 17 Mei lepas, Ahmad Azza Fahmi dan Muhamad Syafiq maut selepas diserang seorang lelaki bersenjatakan parang, manakala Mohd Hasif cedera ditembak.
Susulan kejadian itu, polis menahan lima ahli keluarga suspek berusia 19 hingga 62 tahun mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).