Ambil tindakan lebih tegas elak rizab sungai dibangun, titah Sultan Pahang

Ambil tindakan lebih tegas elak rizab sungai dibangun, titah Sultan Pahang

Perkara ini perlu dipandang serius bagi menjaga kualiti air sungai di Pahang, menurut Al-Sultan Abdullah.

Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menggesa tindakan tegas diambil untuk mencegah pembangunan di rizab sungai di Pahang. (Gambar Bernama)
KUANTAN:
Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mahu tindakan penguatkuasaan lebih tegas diambil dan dipertingkat bagi memastikan tiada pembangunan di rizab sungai yang berpotensi mencemarkan sungai di Pahang.

Baginda bertitah, perkara itu perlu dipandang serius agar kualiti air sungai negeri itu dapat dikawal daripada tercemar bagi merealisasikan matlamat menjadikan sungai nadi kehidupan.

“Saya dimaklumkan, sudah pun diwartakan sungai-sungai mempunyai (zon) penampan supaya tidak ada industri dapat dibina sepanjang tepi sungai di negeri Pahang,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada majlis pengurniaan kunci Rumah Rakyat Al-Sultan Pahang (Ru’Rasa) dan persembahan taklimat Projek Tebatan Banjir Sungai Kenau di Kampung Batu Empat, Jalan Sungai Lembing hari ini.

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah berharap, projek tebatan banjir itu dapat disiapkan mengikut jadual bagi mengurangkan risiko banjir di kawasan pekan Sungai Lembing.

“Kita tidak mahu lagi lihat rakyat di Sungai Lembing sentiasa dihantui dengan musibah banjir, bukan sahaja tahun ke tahun tetapi bulan ke bulan.

“Sudah sampai masanya, kita buat sesuatu di sini dan saya harapkan semasa pembinaan ini, rakyat di sini haruslah bersabar,” titah baginda.

Projek tersebut, yang dijangka dapat mengurangkan risiko banjir, mula dilaksanakan pada November lepas dan dijangka siap pada November 2026.

Sementara itu, Al-Sultan Abdullah mahu para penerima rumah Ru’Rasa menjaga kediaman tersebut sebaik mungkin dan tidak menjual atau menyewanya kepada pihak luar.

“Projek ini ialah projek yang diusahakan pihak Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan saya sendiri dan telah melunaskan fasa satu, sebanyak 186 rumah telah siap, tinggal empat lagi belum siap.

“Fasa kedua dan ketiga akan diteruskan sehingga sampai lebih kurang 790 unit rumah,” titah baginda.

Baginda turut berkenan menyempurnakan pengurniaan rumah Ru’Rasa jenis kediaman bertanah satu tingkat berkeluasan 750 kaki persegi, yang dibina dengan kos RM75,000, kepada 16 penerima di daerah Kuantan.

Kuantan ialah daerah kelapan yang membuat penyerahan rumah tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.