Tiada pendakwaan terpilih, SPRM profesional, Azam jawab Hamzah

Tiada pendakwaan terpilih, SPRM profesional, Azam jawab Hamzah

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki menafikan dakwaan Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin kononnya agensi itu dijadikan alat untuk 'membunuh karakter politik' beliau.

azam
Azam Baki menegaskan SPRM akan mengambil tindakan tanpa mengira sesiapa jika agensi antirasuah itu menerima laporan.
PUTRAJAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin konon agensi antirasuah itu dijadikan alat kerajaan untuk ‘membunuh karakter politik’ beliau selepas anaknya dituduh menerima rasuah minggu lalu.

Ketua Pesuruhjayanya, Azam Baki, berkata pihaknya bertindak profesional dan tidak membuat pendakwaan secara terpilih terhadap mana-mana pihak.

Tegasnya, jika ada laporan, SPRM akan mengambil tindakan tanpa mengira sesiapa, pegawai atau ahli politik kerajaan semasa.

“Saya tidak setuju dengan kenyataan berkenaan (Hamzah).

“Ini kerana tindakan kami adalah tindakan yang profesional… tidak mengira siapa sama ada pihak pegawai kerajaan, ahli politik melibatkan kerajaan semasa.

“Apabila ada laporan dan kesalahan, kita akan tuduh di mahkamah. Itu saja kerja saya. Saya tidak ada ‘selective prosecution’ di sini,” katanya selepas Majlis Pelancaran buku ‘Dosa Rasuah – Perspektif Agama’ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Pada 5 Jun lalu, Hamzah berkata pendakwaan terhadap anaknya atas pertuduhan menerima rasuah RM100,000 adalah siri ‘perancangan pembunuhan karakter politik’ ditujukan kepadanya sebagai ketua pembangkang.

Beliau mendakwa, ia dilakukan selepas segala usaha kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional pimpinan Anwar Ibrahim memperalatkan pelbagai agensi kerajaan bagi mencipta naratif, persepsi serta mengada-adakan pertuduhan politik ke atas pemimpin Bersatu termasuknya, gagal.

Dalam perkembangan lain, Azam berkata SPRM menahan tiga pegawai kastam berhubung sindiket penyeludupan barangan import di Pelabuhan Klang.

Beliau berkata, susulan penahanan itu pihaknya menemui wang tunai sejumlah lebih RM3 juta.

“Kita melakukan risikan rangkaian dengan Singapura bagi mengesan pihak terbabit,” katanya.

Sementara itu, Azam berkata buat masa ini belum ada perkembangan mengenai usaha mengesan ahli perniagaan, Muhammad Adlan Berhan, yang juga menantu bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, setakat ini Adlan belum menghubungi SPRM untuk menyerah diri.

“Kita masih lagi berusaha dengan Interpol (Polis Antarabangsa) dan pihak berkuasa lain untuk mengesannya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.