
Pengerusi Biro Pembangunan Ummah dan Komuniti Madani MPM Kamal Shukri Abdullah Sani berkata perpaduan rakyat belum sepenuhnya dicapai walaupun negara hampir 70 tahun merdeka kerana dipisahkan sistem pendidikan berbeza.
“Maka Perlembagaan Persekutuan wajib dipinda dengan memasukkan klausa bahasa Melayu wajib sebagai bahasa pengantar di semua institusi pendidikan kerajaan, bahasa pengantar utama di institusi lain.
“(Selain itu) kuasa menteri pendidikan berkaitan dengan kelonggaran bahasa pengantar dan pembinaan sekolah bukan kebangsaan (bukan satu aliran) diperketat lagi dengan keperluan mendapat perkenan daripada Majlis Raja-Raja Melayu agar maruah bahasa Melayu lebih terjaga,” katanya pada sidang media.
Sementara itu, Kamal turut menggesa kerajaan memansuhkan segera program dwibahasa (DLP) memandangkan ia membawa kesan terhadap perkembangan bahasa Melayu dalam pendidikan negara.
Jelasnya, Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang dilaksanakan sebelum ini telah menyaksikan kemerosotan peratus pelajar dalam bidang sains yang hanya mencapai 20% sahaja.
“Sudah terang lagi bersuluh akan bencana akibat PPSMI dan DLP oleh pentadbiran terdahulu, maka janganlah disokong lagi ‘biawak hidup’ ini,” katanya.
Tambahnya, kerajaan boleh merujuk kebanyakan negara Afrika yang menggunakan bahasa Inggeris dan Perancis dalam pentadbiran dan pendidikan kekal miskin dan mundur.
“Ini juga bukti kemajuan tidak mesti melalui penggunaan bahasa Inggeris sahaja,” katanya.