
Ketua Pegawai Eksekutif Maritime Network, R Jeyenderan, berkata situasi bertambah buruk apabila MOT tidak beroperasi pada hujung minggu.
Katanya, turut menjadi persoalan mengapa kementerian memerlukan hingga 72 jam untuk memproses dokumen yang dilaksanakan atas talian sepenuhnya, dan pada masa sama Jabatan Laut selaku pihak berkuasa boleh mengesahkan semua dokumen hanya dalam masa 15 hingga 20 minit sahaja.
“Jabatan ini sangat cekap justeru kami amat bingung apabila memikirkan mengapa MOT tidak dapat mempercepatkan proses permohonan DSL kepada 24 jam.

“Peraturan ini juga menyebabkan wujudnya impak buruk dan negatif kepada ekonomi, khususnya kargo spot yang perlu diproses dengan pantas.
“Kita sangat berharap MOT mengkaji semula peraturan ini dan bekerjasama dengan Jabatan Laut untuk mempercepatkan proses ini segera,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, MOT perlu menyelaraskan operasinya dengan baik sesuai dengan keperluan industri kargo ketika ini.
Semua kapal yang terlibat dalam perkhidmatan perkapalan dalam negeri perlu memiliki lesen DSL, kecuali kapal Malaysia di bawah 15 tan.
Permohonan bagi DSL dibuat melalui sistem eDSL – sistem atas talian secara menyeluruh yang menyediakan perkhidmatan lebih cekap dan berkesan daripada permohonan, pembayaran dan cetakan lesen.