
Timbalan ketua pasukan petugas itu, Azryta Abdul Aziz, berkata berdasarkan kaji selidik pengumpulan data penyedia BNPL, menunjukkan jumlah kredit diberikan penyedia berjumlah RM1.4 bilion, pada akhir suku pertama 2024.
Katanya, secara relatifnya ia adalah kecil berbanding baki tertunggak kad kredit keseluruhannya pada jumlah RM45.5 bilion, pada penghujung 2023.
Azryta berkata, BNPL hanya mewakili 0.07% daripada jumlah keseluruhan hutang isi rumah.
“Pada tahap ini, kami ‘lega’ kerana 97% kredit dibayar tepat pada masa, dengan hanya 3% direkod sehari lewat,” katanya pada webinar Institut Penyelidikan Khazanah.
Beliau berkata, pasukan petugas berfungsi memantau pertumbuhan perkhidmatan BNPL bertujuan mengelak potensi salah guna, sambil mengambil maklum kerajaan sedang merangka akta kredit pengguna (CCA).
“Akta ini menyasarkan perlindungan kredit pengguna dan menggalakkan industri kredit yang adil, cekap, dan telus dengan memastikan tatakelola wajar dan bertanggungjawab dalam amalan pemberian pinjaman dalam kalangan penyedia kredit.
“Akta berkenaan juga akan menubuhkan suruhanjaya kredit pengguna, di mana secara progresif mengawal selia penyedia kredit, bermula penyedia BNPL yang tidak dikawal,” katanya.
Dalam pada itu, Penyelidik Kanan Bersekutu Institut Penyelidikan Khazanah, Shereen Hazirah Hishamudin berkata bermula suku pertama hingga ketiga 2023, terdapat 2.9 juta pengguna aktif BNPL, kebanyakan golongan muda dan pertengahan usia.
Bagaimanapun, beliau memberi amaran skim terbabit mampu menjerumuskan pengguna dalam hutang, berkemungkinan membentuk budaya gemar berbelanja dan tidak terkawal.
Ahli ekonomi, Nazari Ismail dari Universiti Malaya, bersetuju dengan menyamakan khidmat BNPL seakan ‘menggalakkan pengguna dadah mengambil dadah untuk mengatasi ketagihan’.
Beliau menambah, kajian pihak universiti mendapati BNPL menjadi pengantara tingkah laku pembelian kompulsif.
“Kajian juga menunjukkan BNPL menimbulkan ancaman, jika tidak lebih daripada kad kredit dalam hal pengurusan hutang pengguna,” katanya.
‘BNPL untuk golongan tidak layak’
Namun, Ketua ShopeePay Alain Yee berkata golongan muda sering dipandang enteng dari segi tanggungjawab kredit.
Yee berkata, tujuan perkhidmatan tersebut untuk pengguna yang tidak layak bagi skim kredit biasa.
“Kami mahu memberikan pengguna tidak layak itu hak mendapat kredit dan memandu mereka ke arah lebih bertanggungjawab merancang kewangan.
“Mereka yang dalam ekonomi gig atau mereka yang menerima gaji tunai sukar mendapat akses kredit menerusi saluran traditisional, jadi kami mahu memberi perkhidmatan untuk segmen ini,” katanya.
Beliau berkata, kajian dibuat syarikat itu mendapati 82% responden akan mengesyorkan BNPL kepada rakan dan keluarga, dengan 47% mengurangkan pinjaman daripada rakan dan keluarga, dan 43% mengurangkan pinjaman daripada pajak gadai.