AS kembalikan lebih RM720 juta dana 1MDB kepada Malaysia

AS kembalikan lebih RM720 juta dana 1MDB kepada Malaysia

Jumlah itu merupakan kali keempat dana 1MDB dipulangkan hasil rampasan pihak berkuasa AS.

Duta AS Edgard D Kagan, berkata Washington ‘berbesar hati’ berjaya memulangkan semula kira-kira USD1.4 bilion (RM6.6 bilion) kepada Malaysia.
PETALING JAYA:
Kira-kira USD156 juta (sekitar RM721.4 juta) dana berkait 1MDB dipulangkan kepada Malaysia, kata Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Kuala Lumpur, malam ini.

Dalam kenyataan, pihak kedutaan berkata jumlah berkenaan merupakan pengembalian kali keempat dana diperoleh hasil rampasan aset 1MDB.

Menurut kedutaan, Washington berbesar hati kerana berjaya mendapatkan kembali dan memulangkan semula kira-kira USD1.4 bilion (RM6.6 bilion) dana yang diseleweng dari Malaysia, sehingga kini.

Duta Edgard D Kagan berkata pihaknya sangat gembira aset yang diperolehi menerusi siasatan Jabatan Kehakiman (DoJ) AS ini dikembalikan kepada Malaysia.

“Jumlah wang luar biasa yang sepatutnya menjadi hak kepada rakyat Malaysia dikembalikan dan di mana ia akhirnya boleh digunakan bagi tujuan asal seperti dihasratkan, memperbaiki kehidupan rakyat Malaysia.”

Kedutaan menyatakan pentadbiran AS terus komited mendapatkan semula dan memulangkan dana tambahan yang dicuri daripada 1MDB.

Pada 2020, DoJ berkata pihaknya berusaha mendapatkan semula aset dikaitkan dengan 1MDB.

1MDB adalah dana berdaulat yang ditubuhkan pada 2009, dengan dibantu ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low, bagi menggalakkan pembangunan ekonomi. Ia juga diasaskan bersama oleh Najib Razak, ketika itu menjadi perdana menteri bermula 2009 hingga 2018.

Syarikat berkenaan mengumpul berbilion dolar dalam bentuk bon bagi projek pelaburan dan usaha sama.

Bagaimanapun, DoJ mendapati sebahagian USD4.5 bilion dana dilencongkan ke akaun bank pesisir dan ‘shell company’ (syarikat yang wujud di atas kertas), kebanyakan dikaitkan dengan Low di mana dia dilaporkan bersembunyi di Macau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.