3 pegawai Felda dirakam keterangan berkait kes jual tanah

3 pegawai Felda dirakam keterangan berkait kes jual tanah

Dua pegawai dipanggil pada Isnin dan Selasa lalu manakala seorang lagi yang juga pegawai kanan agensi itu dipanggil hari ini.

macc
Media sebelum ini melaporkan SPRM menahan lapan individu disyaki bersekongkol menerima rasuah hampir RM2 juta daripada sindiket penjualan tanah milik Felda di Melaka.
KUALA LUMPUR:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memanggil tiga pegawai Felda untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan sindiket penjualan tanah di Melaka.

Sumber SPRM berkata, dua pegawai dipanggil pada Isnin dan Selasa lalu, manakala seorang lagi yang merupakan pegawai kanan agensi berkenaan dipanggil hari ini.

“Hari ini seorang pegawai kanan Felda dipanggil untuk dirakam percakapan dan mendapatkan beberapa dokumen bagi membantu siasatan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, Ops Tanah Haram masih dijalankan sejak Isnin dengan pembongkaran beberapa agensi dan entiti lain yang bersekongkol dalam sindiket menjual tanah Felda, namun tiada penahanan dilakukan terhadap mana-mana pegawai Felda setakat ini.

Operasi SPRM dalam kes berkenaan setakat ini membawa kepada penahanan individu terdiri daripada broker, pegawai bank, pengarah syarikat serta orang awam, di samping penyitaan 200 akaun bank bernilai melebihi RM28 juta termasuk akaun-akaun bank Felda yang palsu.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM, Mohamad Zamri Zainul Abidin, ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

“SPRM akan bekerjasama dengan Felda bagi menyelesaikan isu ini demi kepentingan awam,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan SPRM menahan lapan individu disyaki bersekongkol menerima rasuah hampir RM2 juta daripada sindiket penjualan tanah milik Felda di Melaka.

Sumber SPRM memaklumkan lapan individu itu melibatkan broker, pegawai bank, pengarah syarikat serta orang awam berusia lingkungan 20 hingga 50-an yang ditahan di Kuala Lumpur dan Sabah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.