
“Saya berulang kali menegaskan Sabah dan Sarawak akan mempunyai autonomi dalam program MM2H.
“Saya akan jumpa ketua menteri Sabah (Hajiji) dan premier Sarawak (Abang Johari) tidak lama lagi untuk membincangkan perkara ini lebih lanjut,” katanya di Facebook.
Tiong sekali lagi mengkritik Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Christina Liew serta memintanya bersabar dan fokus pada tugasnya.
“Sebagai peguam, dia sepatutnya lebih memahami undang-undang. Dakwaannya mengenai penentuan syarat program MM2H Sabah bercanggah peraturan sedia ada,” katanya menjawab kenyataan Liew bahawa negeri itu akan meneruskan versi sendiri program tersebut jika Putrajaya tidak mempertimbangkan semula penggantungan lesen ejen menguruskan permohonan MM2H.
Isnin lalu, Liew menafikan beliau tidak menyertai mesyuarat berhubung MM2H oleh Putrajaya, sebaliknya berkata tidak pernah dipelawa menghadirinya.
Katanya, beliau dan pegawai kementeriannya menghadiri sekurang-kurangnya lima mesyuarat pelancongan peringkat persekutuan, dengan ada dipengerusikan Tiong, tetapi tiada satu pun membincangkan program MM2H.
Ini jawapannya terhadap dakwaan Tiong bahawa beliau atau wakilnya tidak hadir, walaupun beberapa kali dipelawa untuk membincangkan MM2H.
Tiong turut mendakwa Liew tidak memahami dasar mengenai ejen MM2H, dengan menekankan ejen sedia ada hanya perlu mendaftar semula untuk mengelakkan salah laku, seperti menyewa permit atau menipu bakal pelanggan.
Tiong dalam catatan Facebooknya hari ini berkata dalam mesyuarat November lalu, wakil semua negeri membincangkan pelbagai topik, termasuk peruntukan pelancongan, Tahun Melawat Malaysia 2026 dan program MM2H.
Menurutnya, semua itu direkodkan dalam minit mesyuarat.
Beliau menggesa Liew menghadiri mesyuarat itu sendiri atau memastikan wakilnya berbuat demikian dengan ‘bersungguh-sungguh’ untuk mengelak pembaziran masa.