
Menteri komunikasi berkata, peringatan itu diberikan Anwar ketika mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
Fahmi berkata, bagaimanapun mesyuarat tidak membincangkan secara khusus gesaan seorang penyokong demokrasi, Thomas Fann supaya garis panduan diperkenalkan bagi parti dalam kerajaan berhubung pengumuman peruntukan menjelang pilihan raya.
“Kita tidak bincangkan secara khusus perkara ini.
“Tetapi perdana menteri ada memberi peringatan kepada semua ahli Jemaah Menteri supaya memastikan sewaktu tempoh PRK ini. Jadi peringatan itu sudah diberikan oleh perdana menteri,” katanya pada sidang media di Kementerian Komunikasi.
Semalam, Fann yang juga bekas pengerusi Bersih membuat gesaan itu sebagai respons terhadap pengumuman Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming di Nibong Tebal, mengenai peruntukan RM18 juta untuk pelbagai projek di Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang, bawah program Sentuhan Kasih.
Seberang Perai Selatan turut merangkumi DUN Sungai Bakap yang dijadual mengadakan PRK 6 Julai ini.
Walaupun Nga menafikan peruntukan diumumkannya ada kaitan PRK yang akan diadakan, Fann berkata ‘mana-mana orang awam yang berfikiran wajar’ tahu perkara itu tidak patut dilakukan.
Ia juga boleh dianggap sebagai penyalahgunaan sumber negeri, menurut Fann yang sebelum ini mengkritik Nga kerana mengumumkan peruntukan RM5.21 juta bagi penduduk Hulu Selangor sebelum PRK Kuala Kubu Baharu 11 Mei lalu.