
Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan, berkata semua permohonan boleh dibuat melalui portal Budi Madani, https://budimadani.gov.my dan pemohon perlu menyimpan resit pembelian diesel untuk tujuan audit.
“Untuk layak menerima pembayaran semula ini, pemilik kenderaan logistik hendaklah membuat permohonan dan mendapat kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup bawah SKDS 2.0 selewat-lewatnya 30 Jun,” katanya dalam kenyataan.
Amir menjelaskan, mekanisme interim pembayaran semula itu bertujuan menampung perbezaan antara harga runcit diesel baharu iaitu RM3.35 seliter dan harga SKDS 2.0 sebanyak RM2.15 seliter, sehingga pemohon menerima kad fleet atau bagi tempoh maksimum dua bulan, mana-mana terdahulu.
“Oleh itu, kerajaan menyarankan supaya semua pemilik kenderaan logistik yang telah diluluskan di bawah SKDS 2.0 untuk segera memohon kad fleet secepat mungkin melalui portal https://mysubsidi.kpdn.gov.my,” katanya.
Katanya, kerajaan giat memastikan penyasaran subsidi mencapai objektifnya, terutama melibatkan pelaksanaan SKDS 2.0 yang membolehkan kenderaan logistik tertentu kekal memperoleh diesel bersubsidi pada harga RM2.15 seliter.
“Kerajaan mahu pelaksanaan program penyasaran subsidi diesel berjalan dengan lancar dan akan sentiasa memantau perkembangan aktiviti sektor logistik kerana dengan pelaksanaan SKDS 2.0, tiada sebab munasabah untuk mereka bertindak menaikkan harga yang boleh mengesankan rakyat.
“Pembayaran semula secara tunai ini ialah langkah sementara kerajaan untuk terus membantu pembekal perkhidmatan logistik supaya tidak terkesan dengan perubahan harga runcit diesel,” katanya.
Menerusi SKDS 1.0, sektor pengangkutan awam darat berkelayakan termasuk bas ekspres, bas sekolah, ambulans dan bomba kekal membeli diesel pada harga RM 1.88 seliter.
Bagi SKDS 2.0 kenderaan logistik berkelayakan akan menggunakan kaedah kad fleet bagi membendung kesan terhadap harga barangan pengguna, ditetapkan pada harga RM2.15 seliter.
Kenderaan layak seperti lori rigid (curtain sider), lori katering makanan; lori rigid (hasil pertanian); lori tangki rigid (minuman); lori rigid (kandang haiwan); semi (panel van); serta lori rigid (kombinasi).
Selain itu, bas perkhidmatan bergerak, lori rigid (open platform); van perkhidmatan bergerak, bas katering makanan; lori rigid (perkhidmatan bergerak); van katering makanan; dan lori rigid (sampah) turut layak.