
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil pada sidang media pasca mesyuarat Jemaah Menteri berkata, tidak mustahil kegiatan penyeludupan diesel berjaya dikekang susulan langkah penyasaran semula subsidi kerajaan.
Harga diesel di semua stesen runcit Semenanjung ditetapkan pada kadar RM3.35 seliter bermula Isnin lepas, iaitu harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula Mekanisme Harga Automatik.
Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan pada Ahad lepas berkata, penetapan harga dan pelaksanaan subsidi diesel secara bersasar dapat memberikan penjimatan RM4 bilion setahun, selain mengukuhkan kedudukan kewangan negara untuk jangka masa panjang.
Fahmi berkata, mesyuarat Jemaah Menteri turut membincangkan isu penyasaran subsidi diesel dengan peringatan tegas diberikan kepada pihak yang cuba mengambil kesempatan menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya.
Katanya, peringatan turut diberikan kepada mana-mana sektor yang sebelum ini memang tidak langsung menerima subsidi diesel, namun kini cuba mengambil kesempatan tidak semena-mena.menaikkan harga barangan.
“Orang ramai muat naik gambar surat (di media sosial) … kata beberapa produk atau beberapa perkara dan perkhidmatan akan mengalami kenaikan kos atas alasan mereka (sektor terlibat) tidak lagi menerima subsidi diesel, tetapi apabila disemak semula, mereka memang tidak layak (terima subsidi) sebelum ini,” kata jurucakap kerajaan perpaduan itu.
Beliau menambah, pihaknya menyerahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk mengambil tindakan tegas,
Menurutnya Perdana Menteri Anwar Ibrahim juga telah meminta agar isu berkaitan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 bawah KPDN diteliti.
Fahmi berkata, perdana menteri meminta agar ‘fleet card’ diedarkan secepat mungkin kepada semua pemohon sekiranya boleh.
Beliau turut memberikan peringatan kepada pemohon yang belum menerima ‘fleet card’ agar mengikut proses atau mekanisme yang diumumkan oleh Amir Hamzah mengenai tatacara mendapatkan semula subsidi diesel bagi kenderaan berdaftar bawah SKDS.
SKDS ialah platform khusus untuk kenderaan awam terpilih dan pengangkutan barangan untuk terus menerima subsidi diesel menerusi ‘fleet card’
Mengenai permohonan subsidi diesel oleh pengusaha kenderaan pelancong seperti bas dan van, Fahmi memaklumkan, perdana menteri juga telah meminta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) serta Kementerian Pengangkutan untuk meneliti perkara itu.
Sementara itu Fahmi meminta warganet agar tidak berhujah secara keterlaluan dalam media sosial sehingga menyatakan hasrat untuk mengakibatkan kecederaan kepada orang lain atau kerosakan harta benda.