
Sebaliknya, tindakan itu hanya akan menghakis kepercayaan rakyat terhadap pilihan raya yang bersih dan adil, katanya.
Bersih menuduh kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) meniru amalan ‘sangat tidak adil’ yang dikecamnya ketika menjadi pembangkang dahulu.
“Dan amalan tidak beretika ini berterusan dari satu pilihan raya ke pilihan raya yang lain. Amalan ini bercanggah dengan prinsip persaingan politik yang adil dan sama rata dalam pilihan raya,” katanya.
Badan itu berkata demikian sebagai respons terhadap tindakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming menjelang PRK Sungai Bakap.
Semalam, Nga mengumumkan peruntukan RM18 juta untuk pelbagai projek di Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang, yang merangkumi Sungai Bakap, bawah program Sentuhan Kasih. Beliau kemudian menafikan peruntukan yang diumumkan itu ada kaitan dengan PRK Sungai Bakap.
Anwar, melalui setiausaha politiknya Shamsul Iskandar Akin, menyumbang RM290,000 kepada sembilan masjid dan 20 surau di Sungai Bakap sempena Hari Raya Aidiladha Isnin depan.
Bersih turut mengulangi gesaannya agar garis panduan komprehensif mengenai etika kerajaan sementara dan bukan sementara dalam tempoh pilihan raya diwujudkan bagi mengelakkan sumber negara disalah guna untuk peruntukan dan dasar semasa pilihan raya.
Katanya, garis panduan ini harus berkuat kuasa apabila Parlimen atau DUN dibubarkan, atau kerusi menjadi kosong.
Seruan ini serupa dengan cadangan Pengerusi Engage Thomas Fann agar diwujudkan garis panduan bagi parti dalam kerajaan berhubung pengumuman peruntukan menjelang pilihan raya untuk mengelakkan potensi sumber negeri disalah guna semasa pilihan raya.