
Madrasah yang ditutup sepenuhnya pada 2001 itu terletak di tanah persendirian dekat rumah suspek menyerang Balai Polis Ulu Tiram pada 17 Mei lalu menyebabkan dua anggota polis berpangkat konstabel terkorban.
Pada 21 Mei lalu, kerajaan negeri dilaporkan mungkin merobohkan madrasah itu atas faktor keselamatan.
Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid, berkata beberapa agensi seperti polis dan pihak berkuasa tempatan giat melakukan siasatan serta semakan.
“Ia bergantung kepada siasatan rapi yang dibuat. Saya percaya pemeriksaan menyeluruh dibuat, termasuk kepada pemilikan, pematuhan dan sekiranya sebarang tindakan diambil, ia mesti dibuat dengan notis kerajaan,” katanya menurut Sinar Harian selepas Majlis Penyerahan Bantuan Amal Jariah di Maktab Sultan Abu Bakar, Johor Bahru.
Menurut laporan, Majlis Agama Islam Johor tidak menerima sebarang permohonan untuk memperbaharui pendaftaran Madrasah Luqmanul Hakim sejak ia ditutup lebih 20 tahun lalu.
Madrasah itu terletak di tanah persendirian dan rumah keluarga suspek dalam kawasan berpagar serta orang awam tidak dibenarkan masuk.
Difahamkan, madrasah itu pernah menjadi ‘medan usrah’ ahli kumpulan pengganas sekitar 1996 dan 1997.