Sektor pembinaan tak layak guna subsidi diesel sejak dahulu, kata Armizan

Sektor pembinaan tak layak guna subsidi diesel sejak dahulu, kata Armizan

Armizan Mohd Ali berkata KPDN akan menyiasat tindakan pihak industri pembinaan yang dikatakan akan menaikkan harga perkhidmatan mereka.

armizan
Armizan Mohd Ali berkata siasatan turut meliputi kemungkinan pemain industri pembinaan mendapat sumber diesel bersubsidi secara tidak sah sebelum ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sektor industri seperti pembinaan sememangnya tidak layak menikmati subsidi diesel sejak dahulu, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali.

Beliau menegaskan kelompok itu tetap tidak menikmati subsidi seperti syarikat pengangkutan awam dan barangan lain menerusi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) susulan pelarasan harga diesel kepada RM3.35 seliter mulai Isnin lalu.

Armizan berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menyiasat tindakan pemain industri pembinaan yang dikatakan akan menaikkan harga perkhidmatan mereka.

“KPDN akan melaksanakan siasatan alasan mereka perlu menaikkan harga perkhidmatan sekarang.

“Ini termasuk siasatan kemungkinan mereka mendapatkan sumber diesel bersubsidi secara tidak sah sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Armizan berkata KPDN mengambil serius laporan FMT bahawa syarikat penunda kenderaan dan pengeluar konkrit akan menaikkan harga perkhidmatan susulan peningkatan harga diesel kepada RM3.35 seliter daripada RM2.15.

Sekurang-kurangnya dua pengeluar konkrit, DPG Readymix Sdn Bhd dan LCS Marketing Sdn Bhd, mengesahkan kepada FMT pihak syarikat menaikkan harga selepas pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.

“KPDN akan membuat siasatan segera meliputi dua aspek iaitu bagi sektor yang tidak termasuk dalam 33 jenis pengangkutan awam dan barangan di bawah SKDS seperti perkhidmatan tunda kenderaan dan penghantaran barangan binaan, KPDN akan mengeluarkan notis kepada pihak-pihak terbabit.

“Serahan notis akan dilaksana di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 untuk memastikan tidak berlakunya pelarasan harga yang mempunyai elemen pencatutan,” katanya.

Armizan berkata pihaknya turut melancarkan OPS KESAN 2.0 sejak 8 Jun lalu bagi memantau dan menguatkuasakan aduan diterima.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.