
Menterinya, Nga Kor Ming berkata peruntukan itu meliputi kategori bina baharu, baik pulih pembangunan, menaik taraf landskap serta penyaluran peruntukan kepada enam rumah ibadat bukan Islam.
Beliau berkata, antara projek menerima peruntukan terbesar ialah pembinaan balai bomba baharu di Permatang Tinggi, Bukit Mertajam bernilai RM13.8 juta di kawasan seluas 2.428 hektar yang akan bermula 24 Mac tahun depan dan dijangka siap pada Mac 2027.
“Apabila siap, balai bomba ini dapat membantu balai bomba kawasan sekitar seperti Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Bakap, Batu Kawan serta Nibong Tebal, seterusnya mencapai tempoh tindak balas kurang 10 minit ditetapkan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM).”
Beliau berkata demikian selepas merasmikan projek gelanggang bola keranjang sempena siri jelajah Sentuhan Kasih KPKT ke Pulau Pinang di Sungai Udang.
Selain balai bomba, Nga berkata, RM500,000 disalurkan untuk kerja mengecat projek perumahan rakyat (PPR) Ampangan, melebar dan menurap jalan serta menaik taraf longkang dan lantai keliling Dewan Kampung Baru Sungai Kechil (RM191,690), membina gelanggang bola keranjang di Bandar Tasek Mutiara (RM300,000), menaik taraf tingkat 1 Pasar Awam Bukit Panchor kepada Dewan Komuniti Seberang Perai Selatan (RM1 juta) serta menaik taraf bumbung Pasar Awam Bandar Tasek Mutiara (RM500,000).
Projek lain menerima impak daripada peruntukan itu ialah menaik taraf landskap dan lain-lain kerja berkaitan di Taman Bukit Panchor (RM200,000), menaik taraf sistem perparitan di Taman Seruling Emas, Sungai Bakap (RM300,000), menaik taraf tandas awam dan kerja berkaitan di Pasar Awam Bandar Tasek Mutiara (RM120,000) serta RM1.019 juta kepada enam persatuan rumah ibadat bukan Islam di SPS dengan peruntukan RM17.9 juta.
Menurutnya, semua projek itu dirancang dengan teliti untuk memastikan wang dibelanjakan memberi pulangan pelaburan tinggi yang bukan sekadar memberi manfaat kepada komuniti, tetapi juga berdaya maju dari segi ekonomi.
Terdahulu, siri lawatan Sentuhan Kasih KPKT hari ini bermula dengan tinjauan ke projek menaik taraf bumbung, tandas awam dan kerja berkaitan di Pasar Awam Tasek Mutiara, diikuti projek menaik taraf tingkat 1 Pasar Awam Bukit Panchor kepada Dewan Komuniti SPS.
Nga turut melawat projek menaik taraf bumbung di Flat Kos Rendah Taman Bukit Panchor terdiri daripada 186 unit, sebelum lawatan serta perasmian projek gelanggang bola keranjang Sungai Udang.
Pulau Pinang merupakan lokasi ketiga siri jelajah itu selepas Melaka dan Perlis.