
Ini kerana anak buah Kim Pan Gon itu perlu menang sekurang-kurangnya dengan jaringan tujuh gol bagi mencabar kedudukan Kyrgyzstan di tangga kedua kumpulan D yang turut menyediakan slot automatik ke Piala Asia 2027.
Pada masa sama, mereka juga perlu mengharapkan Oman membelasah Kyrgyzstan dengan jaringan besar dalam aksi di Kompleks Sukan Sultan Qaboos berlangsung kira-kira jam 12 tengah malam nanti.
Bermain di gelanggang sendiri, Malaysia melancarkan serangan sebaik wisel permulaan ditiupkan dan keghairahan mencari kemenangan besar dihukum pula dengan jaringan pembukaan Taiwan menerusi Yu Yao Hsing yang menyudahkan umpanan Kouame Angel Samuel pada minit ke-20.
Harimau Malaya mendapat peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan empat minit selepas itu, namun rembatan Safawi Rasid di dalam kotak penalti sedikit tersasar di sebelah kiri pintu gol Taiwan.
Ketinggalan di separuh masa pertama, Malaysia meneruskan serangan untuk mencari jaringan penyamaan yang ditemui pada minit ke-52 menerusi Safawi.
Pada minit ke-69, Malaysia mendahului Taiwan menerusi Paulo Josue sebelum Adib Raop menambah derita Taiwan dengan jaringan ketiga pada waktu kecederaan.