
Hamidah Othman yang menganggotai majlis mesyuarat kerajaan negeri dari 2009 hingga 2013 membuat gesaan itu susulan dakwaan penyelewengan pindah milik tanah rizab Melayu di Perak yang berlaku pada 2012.
Menurutnya, undang-undang pengambilahan syarikat menerusi pemilikan syer harus diperbaiki dengan tambahan tanah rizab Melayu pihak terbabit tidak boleh dimasukkan dalam urusan transaksi itu.
“Kena ada satu penguatkuasaan dan peraturan syarikat ada tanah rizab Melayu tidak boleh dijual diserah kepada pengusaha bukan Melayu, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) kena sekat,” katanya kepada FMT.
Beliau turut menyarankan kerajaan negeri menggunakan Seksyen 19 Enakmen Rizab Melayu bagi mengambil semula tanah sudah ditukar status itu.
“Enakmen ini menjelaskan kerajaan negeri mempunyai kuasa membatalkan kelulusan dan merampas tanah tersebut.
“Termaktub dalam enakmen bahawa tiada tindakan mahkamah boleh dibuat terhadap kerajaan dan juga tiada sebarang sewa atau pampasan yang boleh dituntut oleh sesiapa di mana-mana mahkamah sekali pun,” katanya.
Menurut Hamidah, dalam pengetahuannya tiada kelulusan berhubung isu berkaitan nyahwarta tanah rizab Melayu dibuat sepanjang beliau menganggotai barisan exco Perak.
Isnin lalu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki berkata pihaknya mungkin memanggil beberapa lagi saksi untuk memberi keterangan berhubung kes penipuan status tanah rizab Melayu seluas lebih 600 hektar di Perak pada 2012.
Pada 30 April lalu seorang bekas Timbalan Pendaftar Hakmilik di PTG Perak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh atas pertuduhan menipu jabatan kerajaan negeri Perak sehingga menyebabkan pemecahan lot Tanah Rizab Melayu meliputi kawasan seluas 649.2 hektar di Sitiawan, dalam daerah Manjung pada 12 tahun lalu.
Pada 28 Mei, seorang pengarah urusan sebuah syarikat hartanah ditahan SPRM dan direman tiga hari berkaitan kes berkenaan namun dibebaskan pada 30 Mei.