
Dr RA Lingeshwaran, yang pada April lalu menggesa pembaharuan dalam MMC, berkata undang-undang jelas memperuntukkan supaya jawatan pengerusi MMC mesti dipegang ketua pengarah kesihatan.
Beliau turut menyoal siapa yang akan mengambil alih peranan itu sekiranya Radzi melepaskan jawatan berkenaan.
“Tidak masuk akal untuk beliau meletak jawatan. Apa yang diperlukan adalah pembaharuan dalam MMC,” katanya kepada FMT.
Lingeshwaran mengulas desakan ahli DAP, Dr Boo Cheng Hau supaya Radzi meletak jawatan sebagai pengerusi MMC.
Ini susulan kenyataan CEO Agensi Kelayakan Malaysia, Shatar Sabran bahawa ia tidak terbabit secara langsung dalam kemelut pendaftaran doktor perubatan yang mendapatkan kelayakan kepakaran melalui program latihan ijazah kepakaran atau “parallel pathway”.
Lingeshwaran berkata, walaupun bersetuju dengan Boo bahawa MMC melakukan kesilapan besar berhubung isu ini, mendesak supaya Radzi meletak jawatan sekadar tindakan terburu-buru yang mampu memburukkan lagi keadaan.
“Radzi bukan satu-satunya orang yang sepatutnya dipertanggungjawabkan dalam perkara ini,” katanya.
Lingeshwaran turut berkata Boo sebagai ahli DAP patut menuruti pendirian parti yang telah bersetuju untuk pindaan dibuat terhadap Akta Perubatan.
Katanya, lebih baik jika wakil rakyat DAP memastikan pindaan yang dicadangkan dilaksanakan untuk mengurangkan bilangan pakar yang menanti dimasukkan dalam Daftar Pakar Kebangsaan.
“Kita tidak mahu isu serupa melibatkan pendaftaran pakar berlaku di masa depan.
“Ini adalah keutamaan, bukannya sebarang peletakan jawatan. Sebaik pendaftaran pakar diperbetulkan, kita boleh berusaha ke arah pembaharuan dalam MMC,” katanya.