
Lagipun, menurut Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Fazzrudin Abdul Rahman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) diperjuangkan melalui diplomasi dan perundingan yang baik dan harmoni di antara kedua-dua kerajaan.
Tegasnya, kedua-dua kerajaan membuktikan keupayaan untuk bekerjasama dengan baik maka tiada keresahan timbul mengenai wujudnya permintaan-permintaan itu.
“Kemampuan untuk berkolaborasi dan menyelesaikan isu-isu serta bukan sahaja permintaan dari Sarawak dan Sabah adalah bukti keberhasilan sistem federalisme dan hubungan baik di antara kerajaan persekutuan dan negeri,” katanya dalam kenyataan.
Fazzrudin mengulas kenyataan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang menurutnya menyatakan, antara lain, mengenai tindakan-tindakan Sarawak yang beliau katakan sebagai mencabar kuasa kerajaan persekutuan.
“Keberanian Sarawak untuk bersuara dalam menuntut hak mereka sebenarnya dipengaruhi oleh sikap terbuka pihak kerajaan persekutuan dalam mendengar isu-isu kerajaan negeri, yang berbeza dengan sebelum ini, bukanlah kerana kelemahan kerajaan persekutuan seperti yang dinyatakan YB Parlimen Pasir Gudang.”
Dalam pada itu, Fazzrudin menjelaskan semua perkara yang dituntut adalah hak yang sewajarnya berdasarkan perjanjian asal dan Perlembagaan, termasuk soal minyak dan penubuhan Petroleum Sarawak Berhad serta soal pendidikan dan penggunaan bahasa Inggeris.
“Seperti yang pernah ditegaskan oleh Adenan Satem sebelum ini iaitu ‘tidak lebih dan tidak kurang’,” katanya, memetik pendirian ketua menteri terdahulu.
Beliau turut mengingatkan bahawa perkara yang dituntut Sarawak dan Sabah bukan perkara baharu, dan berlandaskan perjanjian yang dimeterai bagi penubuhan Malaysia.
“Tanpa perjanjian tersebut tidak mungkin wujudnya sebuah negara bernama Malaysia,” katanya.