
Liew yang menafikan dakwaan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing itu, berkata beliau sebenarnya tidak pernah dijemput untuk ke mesyuarat berkenaan.
Jelasnya, beliau atau pegawai kementeriannya menghadiri sekurang-kurangnya lima mesyuarat berkaitan pelancongan di peringkat persekutuan, dan beberapa daripadanya dipengerusikan oleh Tiong sendiri.
“Menurut laporan daripada kementerian saya, tiada satu pun daripada lima mesyuarat tersebut membincangkan program MM2H. Kami tidak pernah dijemput ke mana-mana mesyuarat yang khusus untuk membincangkan program ini,” kata Liew menurut The Borneo Post.
Kontroversi itu bermula apabila Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menggantung operasi semua ejen berlesen yang mengendalikan permohonan MM2H, termasuk yang berada di Sabah.
Tindakan ini dibuat pada masa yang sama Sabah bersiap sedia untuk melancarkan program MM2H Sabah sendiri. Penggantungan ejen MM2H menyebabkan Sabah terpaksa menangguhkan pelancaran program mereka sendiri itu.
Liew kemudian merayu kepada kementerian untuk mempertimbangkan semula keputusan itu, tetapi ditolak.
Meskipun begitu, Liew menegaskan bahawa Sabah tetap mahu meneruskan program MM2H mereka dan sedang mempertimbangkan untuk melantik wakil negeri yang akan mengendalikan permohonan secara bebas.
Pada Sabtu, Tiong menuduh Liew tidak menghadiri mesyuarat walaupun menerima “beberapa jemputan” untuk membincangkan isu MM2H. Beliau juga menambah bahawa tiada seorang pun wakil Liew yang hadir mesyuarat bagi pihaknya.
Tiong turut mendakwa bahawa Liew tidak memahami sepenuhnya dasar kementerian mengenai ejen MM2H.
Beliau menjelaskan bahawa ejen sedia ada hanya perlu mendaftar semula dengan kementerian, tambahnya, ia bagi mengekang salah laku seperti ejen menyewakan permit atau menipu calon pelanggan.
Selepas pengumuman itu, Tiong dikritik rakan sejawatnya dari Sarawak, Abdul Karim Rahman Hamzah, yang mempersoalkan keperluan untuk menggantung operasi ejen MM2H di Borneo.