Cuepacs sokong syor ketua biar pelanggaran integriti tak naik pangkat

Cuepacs sokong syor ketua biar pelanggaran integriti tak naik pangkat

Kesatuan kakitangan perkhidmatan awam berkata pihak yang mempunyai kuasa tidak wajar menyembunyikan pelanggaran tadbir urus.

Cuepacs berkata perkhidmatan awam perlu melaksanakan penambahbaikan agar sentiasa relevan.
PETALING JAYA:
Kesatuan kakitangan perkhidmatan awam menyokong syor ketua jabatan yang tidak melaporkan atau bertindak ke atas pelanggaran tadbir urus dan integriti dalam unitnya tidak diberi kenaikan pangkat.

Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) percaya syor itu akan melahirkan penjawat awam yang sentiasa cakna terhadap tanggungjawab dan amanah, dalam memastikan jabatan yang diselia melaksanakan urus tadbir terbaik.

“Tidak wajar untuk pihak yang mempunyai kuasa menyembunyikan pelanggaran tadbir urus hanya semata-mata untuk menjaga nama baik sendiri atau individu tertentu,” tegas Presiden Adnan Mat dalam kenyataan.

“Perkara ini hanya akan memburukkan lagi keadaan dan tidak menyelesaikan permasalahan yang berlaku.”

Terdahulu, Anwar pada perjumpaan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri pagi tadi menegaskan tiada kenaikan pangkat bagi ketua jabatan jika wujud salah laku penjawat awam di bawahnya dan tidak dilaporkan.

Beliau percaya ‘agak mustahil’ bagi ketua jabatan atau ketua unit tidak tahu mengenai wujudnya amalan salah laku dalam pentadbiran masing-masing.

Anwar mahu suatu ketetapan mengenai kenaikan pangkat dibuat pada minggu depan, dengan kaedahnya dijangka diumumkan oleh Zuki dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Cuepacs berkata perkhidmatan awam perlu melaksanakan penambahbaikan agar sentiasa relevan, sepertimana institusi lain.

“Sebagai penjawat awam tidak kira peringkat jawatan harus mempunyai kesedaran untuk membanteras salah laku dengan apa jua tindakan termasuklah melaporkan perkara tersebut untuk tindakan lanjut,” tegas Adnan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.