
Pengerusi Faisal Abdul Aziz berkata masih ada ruang untuk kerajaan memperbaiki situasi, di sebalik teguran mendakwa kerajaan gagal melakukan reformasi pilihan raya.
“Bersih menyatakan masih ada ruang untuk kerajaan memperbaiki situasi ini dengan tindakan segera menteri di Jabatan Perdana Menteri untuk membentangkan komitmen serta garis masa agenda reformasi pilihan raya yang ingin dilaksanakan dalam tempah empat tahun berbaki,” katanya kepada FMT.
Faisal menambah pembentangan itu harus digalas oleh Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi, Azalina Othman Said.
Dalam sebuah forum di ibu negara minggu lalu, Faisal dilapor memberikan penarafan “F” kepada kerajaan, kerana Bersih tidak nampak apa-apa pembaharuan yang dilakukan oleh pentadbiran Anwar Ibrahim berhubung reformasi pilihan raya.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Razlan Rafii, bagaimanapun mendakwa Bersih ‘main politik’ kerana kebanyakan permintaannya sudah dilaksanakan oleh pentadbiran Barisan Nasional lalu, antaranya penggunaan dakwat kekal semasa mengundi.
Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali, pula menegur dakwaan mengatakan Anwar dan Jemaah Menteri tidak komited meneruskan agenda reformasi, selepas baru empat bulan berlalu sejak Bersih menyerahkan tuntutannya pada Februari.
Mengambil contoh usaha ke arah memisahkan kuasa peguam negara dan pendakwa raya, Sheikh Umar berkata tidak adil meminta tuntutan terlaksana ‘sekali petik’.
Faisal berkata Bersih menghargai usaha yang sedang dilaksanakan, namun menepis sebarang cubaan mempertikaikan kewajaran tuntutan-tuntutannya.
Mengambil contoh tuntutan yang mahu perlantikan bagi jawatan utama tertentu disemak oleh jawatankuasa Parlimen, Faisal berkata perkara itu ada diikrarkan dalam oleh kedua-dua gabungan itu pada PRU15.
“Bersih menegaskan tuntutan yang dikemukakan adalah selaras dengan janji yang dikemukakan dalam manifesto PH dan BN,” katanya.