‘Ya atau tidak’ bina jambatan Labuan-Sabah, Putrajaya perlu jawab segera

‘Ya atau tidak’ bina jambatan Labuan-Sabah, Putrajaya perlu jawab segera

Ahli akademik Romzi Ationg berkata terlalu banyak kajian dibuat termasuk oleh pentadbiran terdahulu namun belum ada tanda positif.

bandar-labuan
Ahli akademik berpendapat jambatan menghubungkan Labuan dengan tanah besar Sabah boleh meningkatkan potensi dan sosioekonomi pulau terbabit. (Bernama pic)
PETALING JAYA:
Putrajaya perlu memberi jawapan jelas sama ada ‘ya atau tidak’ untuk membina jambatan menghubungkan Labuan dan tanah besar Sabah, tanpa ‘berselindung’ di sebalik alasan kajian yang telah dibuat sekian lama, kata ahli akademik.

Romzi Ationg berkata terlalu banyak kajian dibuat termasuk oleh pentadbiran terdahulu namun belum ada tanda positif dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam lawatan ke pulau itu pada hujung bulan lalu turut menyatakan sokongan kerajaan pusat.

Menurutnya, pengumuman itu sememangnya disambut baik oleh rakyat Labuan dan Sabah walaupun enam bulan lalu Anwar menyatakan kerajaan mahu menyelesaikan projek kemudahan asas dan projek jambatan dianggar RM6 bilion bukan keutamaan.

Romzi Ationg.

“Cuma yang mahu diketahui sama ada ya atau tidak mahu bina…terlalu banyak kajian sejak 2010 dan berjuta telah dibelanjakan.

“Berterus terang mahu buat atau tidak, kajian ada telah lama siap dan boleh diperbetulkan…jangan ‘flip flop’ lagi,” katanya kepada FMT.

Bernama pada 31 Mei melaporkan Anwar berkata kerajaan pusat menzahirkan sokongan terhadap cadangan pembinaan jambatan menghubungkan Labuan dan tanah besar Sabah yang sudah lama tertangguh sementara menunggu laporan komprehensif mengenai implikasinya.

Anwar berkata justeru itu kajian teknikal sedia ada berhubung cadangan terbabit perlu dikemas kini untuk memberikan gambaran sebenar mengenai keadaan semasa.

Pada Januari 2018, pentadbiran Najib Razak meluluskan peruntukan untuk kajian perunding kejuruteraan untuk mencari kaedah terbaik pelaksanaan pembinaan jambatan terbabit, bukan lagi menilai kesesuaiannya.

Romzi turut menolak pandangan mengatakan projek itu tiada pulangan pelaburan (ROI) berikutan kekurangan industri di Labuan selain telah mempunyai feri Roll-on Roll-off yang baru-baru ini menerima RM22 juta untuk menaik taraf terminalnya.

Menurutnya, Labuan ada industri gas serta minyak yang berpotensi untuk dikembangkan, sekali gus ‘mewajarkan’ pembinaan jambatan terbabit yang telah lama dinantikan.

“Tanpa jambatan potensinya masih kecil dan sukar pelabur masuk…lagi pun ramai penduduk di Labuan rasa hidup dalam ‘penjara’ kerana susah hendak keluar disebabkan operasi feri terhad.

“Kalau ada jambatan macam di Pulau Pinang boleh keluar bila-bila masa, kalau nak pendapatan dari jambatan itu boleh kenakan tol,” katanya sambil menambah akses itu akan membantu meningkatkan persekitaran ekonomi penduduk setempat.

Felo Majlis Profesor Jeniri Amir pula berpendapat sekarang masa sesuai membina jambatan berkenaan bagi meningkatkan sosioekonomi Labuan dan mengelakkan kosnya mencecah lebih tinggi.

“Memang pembangunan lain perlu diberi tumpuan tetapi kalau jambatan itu dapat beri kesan besar apa salahnya dibina? Saya percaya ada manfaatnya terutama melancarkan perjalanan orang ramai termasuk pelabur.

“Jadi komitmen kerajaan perlu ada untuk pastikan projek ini betul-betul dilaksanakan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.