
Berita tersebut disahkan adiknya yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Nur-ul Afida Kamaludin, yang memaklumkan bahawa abangnya didiagnos menghidap kanser usus tahap empat pada Mac lepas, dan dirawat di Hospital Kuala Lumpur selama hampir dua bulan.
“Allahyarham dibenarkan keluar hospital pada Mei lalu dan beliau minta untuk tinggal dengan abang nombor dua kami berikutan isterinya dan anak abang itu merupakan doktor, lagipun arwah turut mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang.
“Pada Khamis lepas, doktor yang merawatnya memaklumkan keadaan abang saya semakin kritikal berdasarkan tisu-tisu kanser yang keluar dalam tubuhnya,” katanya.
Beliau berkata Huzz yang merupakan anak ketiga daripada enam beradik menghembuskan nafas terakhir dalam keadaan tenang, dikelilingi semua ahli keluarga yang berkumpul sejak semalam di Bertam Perdana.
Nur-ul berkata, abangnya yang akan menyambut hari lahir ke-59 pada Julai nanti mahu sentiasa berada dekat dengan adik-beradik dan ahli keluarga sejak dibawa ke Bertam Perdana.
“Arwah minta semua adik-beradik dan ibu kami berada dengannya di sini dan semasa beliau menghembuskan nafas terakhirnya, kami semua ada,” katanya yang beberapa kali menahan sebak.
Beliau berkata jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Permatang Langsat, sama ada malam ini atau awal pagi, esok.
Jawatan terakhir Huzz adalah sebagai editor kanan Utusan Karya. Beliau pernah bertugas sebagai pengarang majalah URTV dan turut popular menerusi ruangan Sensasi Huzz dalam sisipan Pancaindera, Mingguan Malaysia.
Huzz juga merupakan penulis lirik dan dikenali menerusi lagu nyanyian Ramlah Ram berjudul Keangkuhan Mu.