Sarawak perlu RM17 bilion naik taraf fasiliti kesihatan

Sarawak perlu RM17 bilion naik taraf fasiliti kesihatan

Ia melibatkan beberapa siri Rancangan Malaysia, kata Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni.

luka lama berdarah kembali
Sebanyak RM17 bilion diperlukan untuk menggantikan keseluruhan fasiliti kesihatan di Sarawak, menurut Timbalan Menteri Lukanisman Awang Sauni. (Gambar Facebook)
SEMATAN:
Sarawak memerlukan RM17 bilion untuk menaik taraf fasiliti kesihatan secara berperingkat dan komprehensif, kata Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni.

Pada ketika ini, sejumlah 206 Klinik Kesihatan (KK) dikenal pasti sebagai klinik daif dengan 39 daripada jumlah itu mendapat kelulusan peruntukan RM19 juta untuk dinaik taraf bagi tahun semasa.

“Ini (RM17 bilion) merupakan angka yang dikemukakan kepada perdana menteri oleh kerajaan Sarawak dan ia bukan sahaja menggantikan klinik tapi keseluruhan fasiliti kesihatan kita di Sarawak.

“Ia sangat besar dan melibatkan beberapa siri Rancangan Malaysia sebenarnya, kita ada senarai keutamaan (mengikut keperluan) contohnya pembinaan Klinik Kesihatan Biawak, Lundu yang memerlukan penumpuan sebab ia berdekatan dengan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Biawak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat Siri Satu dan Sambutan Hari Denggi Asean di Kampung Pueh.

Lukanisman berkata turut memerlukan naik taraf ialah kuarters atau kediaman warga Kementerian Kesihatan (KKM) khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Selain itu, beberapa klinik daif yang tersenarai untuk dinaik taraf tahun ini seperti KK Singai, Bau memerlukan kos yang lebih besar kerana perlu diroboh dan dibina semula.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan pembinaan Hospital Petra Jaya di Kuching kini berada pada tahap lebih 70% dan bakal beroperasi sepenuhnya menjelang Ogos 2025.

“Untuk bangunkan hospital ini kita tak boleh terburu-buru, tak sama seperti bangunkan sekolah kerana melibatkan isu teknikal, tetapi perkembangan berjalan lancar dan dalam tahun ini kerja pembinaan akan capai lebih 80%,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.