Khoo ambil alih kepimpinan DAP Melaka

Khoo ambil alih kepimpinan DAP Melaka

Khoo Poay Tiong berkata, beliau menganggap pelantikannya sebagai pengerusi interim sebelum pemilihan yang akan diadakan akhir tahun ini.

Khoo Poay Tiong
Khoo Poay Tiong dipilih sebulat suara menjadi pengerusi DAP Melaka, menggantikan Tey Kok Kiew yang meletak jawatan pada Khamis. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Naib Pengerusi DAP Melaka Khoo Poay Tiong dipilih sebulat suara untuk mengetuai kepimpinan parti negeri itu berikutan peletakan jawatan Tey Kok Kiew pada Khamis.

Khoo, yang juga Ahli Parlimen Kota Melaka memberitahu FMT, keputusan melantiknya sebagai pengerusi DAP Melaka dibuat pada mesyuarat yang dihadiri 15 daripada 20 ahli jawatankuasa negeri itu malam tadi.

“Saya anggap pelantikan ini sebagai pengerusi interim, sebab pemilihan kepimpinan parti negeri akan diadakan pada akhir tahun ini.

“Saya akan cuba sedaya upaya untuk memastikan kestabilan parti dan juga kerajaan perpaduan negeri Melaka,” katanya, sambil mengucapkan terima kasih kepada Tey atas khidmatnya selama dua penggal.

Khoo, 54, sebelum ini menjadi Adun Ayer Keroh dari 2008 hingga 2018, dan Ahli Parlimen Kota Melaka sejak 2018.

Tey mula-mula menerajui kepimpinan DAP Melaka pada Disember 2015, namun meletak jawatan pada November 2021 berikutan prestasi buruk parti itu pada PRN.

Beliau dipilih semula menjadi pengerusi DAP negeri pada Januari 2023 sebelum meletak jawatan pada Khamis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.