Ancaman bom: Ketat semula SOP keselamatan di pejabat risiko tinggi, kerajaan diberitahu

Ancaman bom: Ketat semula SOP keselamatan di pejabat risiko tinggi, kerajaan diberitahu

Penganalisis jenayah berkata ancaman bom di pejabat Motac di Putrajaya beri amaran tahap keselamatan perlu ditingkatkan.

Rabu lalu kakitangan dan pelawat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya di Putrajaya diarah keluar dari bangunan selepas terdapat ancaman bom.
PETALING JAYA:
Kejadian ancaman bom di pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) di Putrajaya, Rabu lalu mendedahkan ‘sedikit kelompongan’ dalam aspek keselamatan yang perlu diperketat di pusat pentadbiran kerajaan persekutuan, kata penganalisis jenayah.

Shahul Hamid Abdul Rahim berkata, SOP kemasukan pelawat dan penerimaan barangan mungkin perlu diteliti, mengambil kira ancaman empat hari lalu berpunca dengan penghantaran bungkusan dialamatkan kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing.

Pakar kriminologi itu mencadangkan penggunaan mesin pengimbas yang boleh mengesan barangan berbahaya seperti bom, selain pemasangan kamera litar tertutup yang boleh melihat pergerakan atau barangan dibawa seseorang pelawat dengan lebih jelas.

“Kena sentiasa berwaspada walaupun ancaman bom tempoh hari palsu, perlu tingkatkan keselamatan terutama di bangunan berisiko seperti Kementerian Pertahanan, Wisma Putra dan Kementerian Dalam Negeri.

Shahul Hamid Abdul Rahim
Shahul Hamid Abdul Rahim.

“Tengok semula SOP kemasukan pelawat dan penghantaran barang,” katanya kepada FMT.

Dalam kejadian Rabu lalu, kakitangan dan pelawat di pejabat Motac di Putrajaya diarah mengosongkan bangunan tersebut susulan ancaman bom dikesan menerusi bungkusan dialamatkan kepada Tiong.

Bagaimanapun, polis mengesahkannya ancaman palsu dan berdasarkan rakaman kamera litar tertutup, bungkusan berisi bahan letupan menyerupai bom itu dihantar menerusi syarikat kurier pada 11.19 pagi.

Noor Nirwandy Mat Noordin.
Noor Nirwandy Mat Noordin.

Sementara itu, penganalisis keselamatan dan politik, Noor Nirwandy Mat Noordin menyarankan semua kakitangan kerajaan diwajibkan menjalani kursus asas keselamatan yang membolehkan mereka mengesan sebarang ancaman.

“Langkah itu dapat meningkatkan pertahanan pasif dan berteknologi untuk mengesan serta menghalang anasir keganasan atau ancaman,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.