Polis tahan 2 lelaki bertumbuk di kedai runcit

Polis tahan 2 lelaki bertumbuk di kedai runcit

Polis berkata kejadian berlaku apabila seorang pelanggan meminta jurujual mengambil arak sehingga berlaku salah faham.

Tangkap layar video tular menunjukkan seorang pelanggan dan jurujual bergaduh di sebuah kedai runcit di Seberang Jaya, Pulau Pinang.
BUKIT MERTAJAM:
Polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan berkaitan kejadian pergaduhan di sebuah kedai runcit di Seberang Jaya, seperti yang tular menerusi media sosial sejak semalam.

Ketua Polis Seberang Perai Tengah Helmi Aris berkata berdasarkan siasatan, kejadian itu berlaku pada Selasa dan pihaknya menahan kedua-duanya iaitu jurujual kedai runcit berusia lingkungan 30-an pada 2.30 petang semalam dan pelanggan berusia 40-an pada 11 malam tadi.

“Kejadian berlaku kira-kira 11.50 malam (Selasa) apabila jurujual itu didatangi dua lelaki tempatan dengan seorang daripadanya meminta jurujual mengambil minuman keras.

“Perkara itu mencetuskan perselisihan faham lalu berlaku kejadian tumbuk-menumbuk (antara jurujual dan pelanggan). Kejadian berlarutan apabila pelanggan terbabit bertindak memukul belakang kepala jurujual menggunakan topi keledar ketika mereka berada di luar premis berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata kejadian itu menyebabkan pelanggan terbabit cedera ringan di bahagian muka dan kedua-duanya kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 324 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.

Terdahulu tular dua video memaparkan dua lelaki saling membuat provokasi selain mengajak untuk bertumbuk satu lawan satu sambil diperhatikan oleh pelanggan lain dan pergaduhan itu akhirnya berjaya dileraikan oleh seorang pelanggan yang turut berada di situ.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.