Menang dalam pasukan besar, pemimpin PKR ‘pasang impian’ dominasi PRN Sabah

Menang dalam pasukan besar, pemimpin PKR ‘pasang impian’ dominasi PRN Sabah

Naib Ketua PKR Sabah Raymond Ahuar berkata lebih baik PH, BN, Warisan, dan GRS tidak bertembung dan menang majoriti besar.

Naib Ketua PKR Sabah Raymond Ahuar berkata bagaimanapun terserah kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim menentukan hala tuju pada PRN akan datang.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin PKR mahu melihat Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Warisan dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menang PRN dalam ‘pasukan besar’.

Naib Ketua PKR Sabah, Raymond Ahuar, mahu kerajaan perpaduan Sabah dipertahankan, namun menyerahkan kepada Presiden Anwar Ibrahim membuat percaturan kerjasama.

Beliau berharap tidak berlaku pertembungan sesama sendiri pada PRN Sabah antara komponen membentuk kerajaan perpaduan pusat melibatkan PH, BN, Warisan, termasuk GRS.

Katanya, langkah itu bagi memastikan parti kerajaan perpaduan di Sabah yang kini diterajui Hajiji Noor menang besar.

“Kita harap tiada (pertembungan), kita nak pastikan kemenangan besar parti kerajaan perpaduan kerajaan di Sabah (pimpinan Hajiji).

“…dan apa-apa strategi seterusnya kita tetap dengan keputusan dan kebijaksanaan Presiden PKR Anwar Ibrahim termasuk berkaitan percaturan kerjasama, kita pemimpin PKR negeri bagaimanapun menghormati setiap keputusan pimpinan.

“Kita perlu menang majoriti lebih besar satu pasukan,” katanya kepada FMT.

Mengulas khabar angin potensi pertembungan PH-BN dengan GRS, Raymond berkata pihaknya menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti dalam kerajaan perpaduan menyelesaikannya, jika ia benar-benar berlaku.

Sebelum ini, FMT melaporkan kemungkinan kerjasama BN dan PH bagi berdepan PRN Sabah, meneruskan kesinambungan di peringkat persekutuan terjalin sejak 2022.

Memetik sumber, kerjasama itu tidak akan membabitkan GRS dan mungkin turut disertai Warisan dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), semuanya menjadi sebahagian komponen kerajaan perpaduan diketuai Anwar.

Sumber mendedahkan, walaupun majoriti pimpinan BN dan PH negeri bersetuju dan hanya menunggu pengesahan ketua parti masing-masing, namun ada yang membantah cadangan kerjasama berkenaan, kebanyakannya daripada PKR.

Mengulas pelantikan barisan kepimpinan baharu PKR Sabah diterajui Mustapha Sakmud, Raymond berkata fokus parti kini menjurus persiapan menguatkan akar umbi menghadapi PRN, sambil menjelaskan tiada lagi pergolakan berlaku.

“Kita dalam keluarga besar PKR, kita akan tumpu kepada mengerakkan dan memperkuatkan parti dari akar umbi untuk menghadapi PRN, malah kerjasama dengan bekas pengerusi negeri Sangkar Rasam baik memandangkan beliau sebagai ketua Keningau dan ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP),” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.