
M Nanthini, 26, S. Lawannia, 28; J Thaneshh, 23; dan M. Alagendran, 40, didakwa merompak RM400 dan sebuah telefon bimbit milik Ali Sayed dengan kerugian RM600, di ATM RHB Bank di Brickfields pada 12 Mei.
Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda dan sebat, jika sabit kesalahan.
Di mahkamah sama, Nanthini, Thaneshh dan Alagendran juga mengaku tidak bersalah atas dakwaan merompak sekeping kad ATM Bank Hong Leong yang mendatangkan kerugian RM2,000 kepada seorang lagi lelaki warga Bangladesh, Nasimul Hasan Naim, di Public Bank, Medan Hujan Rahmat, Brickfields pada 19 Mei, mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.
Mereka turut mengaku tidak bersalah atas tuduhan menyamar sebagai pegawai polis bagi tujuan merompak mangsa sama pada tempat, masa dan tarikh sama.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Lawannia dan rakannya Nur Hikmah Abu Bakar, 20, mengaku tidak bersalah di mahkamah sama atas tuduhan bersubahat merompak mangsa sama (Nasimul Hasan) pada tempat, masa dan waktu serupa, mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 109, yang memperuntukkan hukuman serupa.
Hakim Nu’aman Mahmud Zuhidi membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tuduhan dan menetapkan 15 Julai ini untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Shakila Mohd Shariff manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.