
Pakar ekonomi, Barjoyai Bardai, berkata institusi dicadangkan itu akan melindungi kumpulan tidak berkemampuan dan pesara tidak mempunyai pencen atau pendapatan selepas bersara.
“Kebanyakan bekas pekerja kerajaan dan syarikat besar sahaja yang mempunyai pencen khusus. Walaupun mempunyai pencen khusus, tak sampai separuh ada pencen cukup untuk bersara sebab hari ini kita lihat kos sara hidup meningkat.
“Sekurang-kurangnya sebuah keluarga memerlukan pendapatan sekurang-kurangnya RM3,000 sebulan untuk bersara secara berpada tapi kebanyakan mereka mendapat pencen kurang RM3,000,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, mengikut data Kementerian Kewangan setiap rakyat perlu mempunyai simpanan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sekurang-kurangnya RM240,000 untuk bersara pada usia 55 tahun bagi membolehkan mereka menampung kehidupan untuk tempoh 20 tahun dengan kadar perbelanjaan RM1,000 sebulan.
Bagaimanapun, Barjoyai berkata hanya 30% rakyat di negara ini mempunyai tabungan sebanyak itu dalam akaun KWSP mereka.
Katanya, melalui institusi itu kerajaan boleh menyediakan dana awal serta membuka peluang kepada syarikat, individu dan jabatan agama untuk menyalurkan sumbangan supaya ia menjadi ‘skim endowment’ yang komprehensif melindungi semua rakyat tanpa mengira agama.
Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata survei baru-baru ini mendapati 26% responden berumur 60 tahun ke atas akan terus bekerja sehingga hadapi masalah kesihatan, kerana mereka menghadapi cabaran untuk mencapai jaminan pendapatan bagi membiayai keperluan persaraan.
Katanya, populasi warga emas lebih terdedah kepada kemiskinan berbanding rata-rata penduduk Malaysia yang lain, dengan hanya 29% rakyat mempunyai pencen semasa bersara.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, berpendapat kerajaan perlu mempelajari dari negara Scandinavia – Finland, Norway, Denmark dan Sweden berkaitan pelan kebajikan yang mempunyai sistem sosial kukuh.
Katanya, sistem percukaian negara perlu disusun semula seperti cukai jualan dan perkhidmatan (SST) atau cukai barang dan perkhidmatan (GST) serta cukai berpendapatan yang tinggi.
Pakar ekonomi dari Universiti Malaya (UM), Zarinah Yusof, pula berkata kerajaan boleh menggunakan kepakaran, kemahiran dan pengalaman dengan menawarkan kerja secara sambilan atau kontrak dengan waktu bekerja lebih fleksibel terhadap warga emas berusia 60 tahun ke atas yang masih sihat dan produktif.

“Ini dapat membantu masalah kekurangan tenaga kerja di pasaran buruh, mengurangkan pergantungan kepada buruh asing dan menghasilkan pendapatan selepas umur persaraan…(ia juga dapat) mengurangkan risiko penyakit di umur tua seperti alzheimer, murung dan sakit sendi.
“Dari segi ekonomi, ini dapat menjimatkan perbelanjaan kesihatan negara, mengurangkan kesesakan di hospital dan mengatasi masalah kekurangan kakitangan perubatan dengan meningkatnya bilangan penduduk dan warga emas,” katanya.