Miti sahkan Jatronics bukan pengeluar semikonduktor

Miti sahkan Jatronics bukan pengeluar semikonduktor

Kementerian itu berkata syarikat itu tidak berdaftar di bawah Akta Perdagangan Strategik 2010 dan tidak memohon permit eksport.

Jatronics Sdn Bhd didakwa membekalkan komponen electronik penting kepada Rusia yang boleh digunakan dalam peluru berpandu, jet, dan dron. (Gambar Pixabay)
PETALING JAYA:
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) menjelaskan Jatronics Sdn Bhd tidak beroperasi sebagai pengeluar semikonduktor di Malaysia.

Sebaliknya, syarikat tersebut berfungsi sebagai syarikat perdagangan terlibat dalam perdagangan borong produk semikonduktor dan perkhidmatan fabrikasi.

Kementerian berkata, Malaysia menguat kuasakan Pengurusan Perdagangan Strategik (STM) menerusi Akta Perdagangan Strategik 2010 (STA) 2010, dalam kawal selia eksport, transit, pemindahan penghantaran, dan pembrokeran barangan strategik, terutama yang mempunyai potensi bagi aplikasi ketenteraan.

“Berdasarkan rekod, Jatronics bukan syarikat berdaftar di bawah STA 2010 dan tidak memohon permit eksport,” katanya dalam kenyataan.

Miti berkata, Malaysia mematuhi sekatan multilateral dan ‘senarai pengguna akhir terhad atau dilarang’ diputuskan dalam Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSCR).

“Rusia tidak tersenarai oleh UNSCR, justeru ia tidak termasuk di bawah STA 2010,” katanya.

Pengesahan Miti itu sehari selepas Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan berkata, beliau difahamkan syarikat Malaysia berkenaan bukan pengeluar semikonduktor, tetapi syarikat dagang yang menjual peralatan berkait semikonduktor.

Sebelum ini, dilaporkan bahawa Amerika Syarikat (AS) mengenakan sekatan terhadap Jatronics kerana dakwaan membekalkan komponen penting elektronik untuk ketenteraan Rusia.

Kementerian berkata, tindakan Jabatan Perbendaharaan AS ke atas Jatronics merupakan sebahagian sekatan meluas berkait konflik Ukraine-Rusia, menyasarkan entiti dari pelbagai negara.

Miti menasihatkan syarikat sentiasa mengambil maklum sekatan dikenakan terhadap negara lain, terutama dari AS, dan memantau langkah perdagangan dengan teliti.

“Miti berhubungan dengan Kedutaan AS di Kuala Lumpur mengenai sekatan unilateral AS sambil terus meningkatkan pemantauan urusan perdagangan antarabangsa pengeksport dan pengilang Malaysia,” katanya.

Kementerian turut menegaskan pendirian berkecuali Malaysia dan komitmen mempromosikan persekitaran perdagangan global selamat dan terjamin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.