Cuba masuk Perlis, kontena asal Israel diarah patah balik

Cuba masuk Perlis, kontena asal Israel diarah patah balik

Pengarah Kastam Perlis Ismail Hashim berkata lori kontena berkenaan membawa muatan dagangan ayam sejuk beku yang baharu tiba dari Thailand di Padang Besar, Ahad lalu.

Sebuah lori kontena tertera logo syarikat perkapalan berpangkalan di Israel diarah berpatah balik oleh Kastam selepas dikesan cuba memasuki Perlis. (Gambar JKDM Perlis)
PETALING JAYA:
Sebuah lori kontena membawa muatan dagangan ayam sejuk beku yang baharu tiba dari Thailand di Padang Besar, Ahad lalu diarahkan berpatah balik oleh penguatkuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis selepas ia dikesan berasal dari Israel.

Pengarah Kastam Perlis, Ismail Hashim, berkata kejadian itu dikesan kira-kira 12 tengah hari selepas lori terbabit melalui terowong mesin pengimbas di Unit Dagangan Jalan Raya, Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQs) di sini.

“Semasa proses imbasan imej, pengendali mesin pengimbas mengesan kontena digunakan berasal dari Israel berdasarkan logo ZIM yang tertera pada badan dinding luar kontena itu.

“Oleh itu, lori terbabit ditahan bagi mendapat pengesahan dan pemeriksaan lanjut,” katanya melalui kenyataan hari ini, menurut Berita Harian.

Menurutnya, semakan bersama pihak agensi kerajaan lain mengesahkan kontena itu dilarang memasuki negara ini kerana dipercayai milik syarikat berpangkalan dari Israel.

“Kita segera mengarahkan lori kontena berisi barang dagangan berkenaan berpatah balik ke negara jiran pada hari sama,” katanya.

Ahad lalu, Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi mengarahkan siasatan segera dilakukan mengenai dakwaan kewujudan kontena syarikat perkapalan berpangkalan di Israel, ZIM, di sebuah pelabuhan di Iskandar Puteri di Johor.

Beliau menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana syarikat yang mempunyai kaitan secara langsung dengan Israel.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.